PETALING JAYA – Trend memiliki dan menjual baju lusuh kategori vintaj dengan cetakan gambar kumpulan muzik, filem dan kartun keluaran tahun 80-an dan 90-an kini kembali menjadi fenomena dan dianggap sebagai satu pelaburan masa depan.
Pakaian terpakai yang bernilai seperti emas itu bukan sahaja menjadi buruan peminat tegarnya, malah pembeli biasa yang telah mengetahui nilai sebenar baju lusuh tersebut.
Malah, mereka sanggup berbelanja besar sehingga ribuan ringgit demi sehelai baju lusuh yang dianggap sebagai rare kerana dicetak khas serta menjadi koleksi terhad misalnya baju-baju kumpulan muzik terkenal era 80-an dan 90-an
Seorang peniaga baju vintage, Muhammad Syafiq Mohd. Salleh, 24, berkata, permintaan terhadap baju vintaj dilihat mula meningkat sejak dunia dilanda pandemik Covid-19.
Menurutnya, keadaan itu berlaku berkemungkinan pembelinya mahu membuat pelaburan kerana harga baju vintaj akan lebih mahal apabila dijual semula selepas beberapa tahun.
“Pasaran baju vintaj kini memang mendapat permintaan tinggi. Saya dimaklumkan ada peniaga mampu menjual baju itu pada harga RM9,000 sehelai.
“Saya pun pernah jual baju vintage kumpulan Metallica keluaran 80-an pada harga RM5,000. Baju terpakai kumpulan Nirvana yang dikeluarkan pada awal tahun 2000 pun boleh dijual pada harga lebih RM500 sehelai,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Muhammad Syafiq yang juga pemilik perniagaan pakaian SPD World Famous berkata, baju vintaj terdiri daripada tiga kategori iaitu kumpulan muzik, filem dan kartun.
Katanya, baju vintaj kartun misalnya adalah berlatarkan cetakan kartun-kartun yang pernah popular seperti Simpson, Garfield dan Woody Woodpecker.
“Nilai baju vintaj terletak pada usia pakaian itu kerana semakin lama tahun baju itu dikeluarkan, semakin tinggi nilainya.
“Harga baju vintaj bertambah mahal jika jenis baju merchandise yang dikeluarkan khas sempena konsert atau tayangan filem dan mempunyai hak cipta.
“Sebilangan peminat baju vintaj menganggap pembelian pakaian itu sebagai aset yang boleh dijual semula dengan harga yang mahal pada masa akan datang,” ujarnya.
Katanya, pasaran baju vintaj juga bersifat global kerana boleh dijual melalui pelbagai platform online.
Pada Mac 2021, Kosmo! melaporkan, seorang peniaga bundle di Pasir Mas, Kelantan mendapat rezeki terpijak apabila baju-T jenama Nike vintaj berusia 40 tahun yang bercetak gambar Geisha Official dijual pada harga RM37,500.
Mohd. Suhairi Mat Daud, 40, atau dikenali sebagai Mat Yie Tok Ube berkata, baju itu dibeli oleh seorang individu bernama Otai Lee secara bidaan dalam jualan secara langsung di Facebook. -K! ONLINE
















