fbpx

Penjaja tepi jalan, pembeli berdepan tindakan saman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara penjaja jalanan yang diberi amaran ketika program berkenaan, petang tadi.

SEREMBAN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan bertegas mengenakan tindakan saman terhadap
peniaga dan pembeli yang terlibat aktiviti menjaja di persimpangan lampu isyarat dan jalan raya di negeri ini tanpa sebarang kompromi.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, tiada lagi amaran selepas ini memandangkan perbuatan tersebut boleh mengundang risiko kemalangan jalan raya selain program advokasi terhadap peniaga atau penjaja jalanan telah diadakan sebelum ini bagi memberi peringatan.

“Ini program advokasi dan amaran terakhir kita. Setakat ini, tiada lagi laporan kemalangan melibatkan penjaja jalanan, namun kita terima rungutan orang awam yang mana kehadiran penjaja ini menganggu aliran trafik.

“Ia bukan saja berlaku di Seremban tetapi juga di Port Dickson terutama di lokasi lampu isyarat yang banyak kenderaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Advokasi Penjaja Jalanan di Jalan Rasah, di sini petang tadi.

Jelas beliau, merujuk kepada Kaedah 10A(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959, tiada sesiapa pun boleh menjual atau menawarkan untuk menjual benda ataupun barang kepada mana-mana orang yang berada di dalam atau di atas kenderaan di persimpangan jalan atau mana-mana jalan raya.

Tambah beliau, bagi Kaedah 10A(2) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 pula menyatakan tiada sesiapa pun yang berada di dalam atau di atas kenderaan boleh membeli benda atau barang daripada mana-mana orang di persimpangan jalan atau mana-mana jalan raya.

“Bagi kesalahan tersebut, penjual atau penjaja dan pembeli boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan,” katanya. -K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI