fbpx

Pengecilan hutan punca krisis hidupan liar dan Orang Asli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ketua Kampung Orang Asli Pos Simpor, Nor Mohamad Shafiq Dendi Abdullah 30 (kanan) menyerahkan memorandum Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) berkaitan isu krisis hidupan liar yang mengancam Orang Asli kepada pegawai pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini. FOTO : FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) mendesak kerajaan agar mengambil serius isu krisis hidupan liar yang mengancam nyawa Orang Asli dan mencari penyelesaian sebaiknya agar ia tidak berlarutan.

Wakil Orang Asli Temiar, Nasir Dollah, 32, berkata, krisis tersebut terjadi disebabkan aktiviti pembalakan tidak terkawal, perlombongan serta pembukaan ladang-ladang berskala besar yang mengakibatkan kawasan hutan semakin mengecil.

“Sudah pastinya apabila kawasan berhutan semakin mengecil, hidupan-hidupan liar seperti harimau dan gajang terutamanya terpaksa mencari makanan mereka di tempat lain sehingga masuk ke kampung-kampung Orang Asli.

“Kami tidak menyalahkan haiwan kerana mereka hanyalah haiwan namun pihak berwajib haruslah memainkan peranan agar tiada lagi penduduk Orang Asli yang menjadi korban,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum tuntutan berhubung isu berkenaan kepada Pejabat Perdana Menteri di Putra Perdana di sini hari ini.

Menurut Nasir, susulan kejadian serangan harimau yang mengorbankan seorang lelaki di Kampung Sau, Pos Bihai, Gua Musang, Kelantan pada 7 Januari lalu, penduduk Orang Asli mula hidup dalam ketakutan dan terpaksa bergilir-gilir mengawal kawasan tempat tinggal mereka.

“Selain hidup dalam ketakutan, keadaan semakin rumit apabila kami kini terpaksa berkurung sehingga menyukarkan untuk mendapatkan bekalan makanan.

“Jadi kami ingin mendesak pihak kerajaan agar mengambil satu tindakan bagi mengatasi perkara ini kerana penduduk kampung kini tidak dapat bekerja di ladang dan mencari sumber makanan akibat harimau yang masih berkeliaran di kawasan perkampungan.,” tegas beliau.

Jelas beliau, aduan berhubung perkara itu telah dibuat kepada Jabatan Perhilitan Daerah Gua Musang namun sehingga kini, tiga ekor harimau yang berkeliaran di sembilan buah kampung di Pos Bihai masih belum dapat ditangkap sehingga menimbulkan kegusaran penduduk.

Sementara itu, peguam dan juga aktivis, Siti Kasim yang turut hadir menyerahkan memorandum tersebut berkata, pihaknya akan memberi masa sehingga 14 hari untuk mendapatkan maklum balas daripada pihak kerajaan.

“Kita mahu mendapatkan kemas kini situasi berkenaan dalam masa terdekat dan jika tiada apa-apa perkembangan, kita mungkin akan membawa keluarga mangsa yang maut dibaham harimau itu untuk memberi kenyataan tentang apa yang telah berlaku.

“Sebahagian daripada kandungan memorandum yang kita kemukakan adalah tentang tindakan yang diambil oleh agensi kerajaan terlibat di mana tiada langsung perbincangan yang dibuat bersama Orang Asli dalam usaha mengatasi masalah ini,” katanya.

Antara tuntutan yang disenarikan dalam memorandum tersebut adalah pihak Kerajaan Persekutuan mencari penyelesaian bersama Kerajaan Negeri Kelantan bagi memastikan tiada lagi kawasan hutan yang akan diluluskan bagi tujuan pembalakan, perladangan dan perlombongan.

Turut dituntut adalah agar kerajaan membatalkan dengan kadar segera kelulusan cadangan pembinaan Empangan Hidroelektrik Mega di Sungai Nenggiri, Gua Musang, Kelantan dan menjalankan siasatan terperinci berhubung tragedi yang mengorbankan nyawa seorang lelaki Orang Asli memandangkan tindakan tidak efisien yang diambil oleh pihak berwajib. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI