fbpx

PDRM rampas barangan seludup, haiwan liar bernilai RM5 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara haiwan liar yang dirampas oleh PDRM menerusi serbuan oleh Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas, minggu lalu.

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melancarkan enam operasi khas melibatkan enam serbuan sekitar Selangor, Terengganu, Sarawak dan Sabah pada 14 hingga 18 Mei lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) PDRM, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, sebanyak sembilan orang lelaki dan seorang wanita warga tempatan telah ditahan dengan nilai rampasan berjumlah kira-kira RM5 juta.

Menurut beliau, operasi tersebut diterajui oleh Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), JKDNKA.

Mohd Kamarudin berkata, bagi tempoh 1 Januari hingga 19 Mei, PDRM telah melancarkan sebanyak 78 serbuan di seluruh Malaysia dan menahan seramai 172 orang.

“Individu yang ditahan melakukan pelbagai kesalahan yang melibatkan penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi serta penyeludupan hidupan liar.

“Selain itu, PDRM turut merampas pelbagai jenis rokok, arak, minyak diesel, minyak masak, gula, beras, hidupan liar, bunga api dan mercun, makanan sejuk beku, minyak dan minyak masak terpakai,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah kira-kira RM194 juta.

Menurut Mohd Kamarudin, PDRM akan sentiasa komited dalam menyokong usaha kerajaan dan menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menangani isu ketirisan di kawasan sempadan negara.

“Operasi bersepadu bersama agensi-agensi penguatkuasaan yang lain akan diteruskan dari masa ke masa.

“Oleh itu, penglibatan dan kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat kepada pihak polis juga amat digalakkan agar kegiatan jenayah seperti ini dapat dibanteras,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI