fbpx

Misha Omar pembakar semangat Zarol Zarif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZAROL ZARIF teruja dapat sepentas dengan Misha Omar menerusi persembahan Bunga-Bunga Cinta Misha Omar, Charity & Fundraising Gala Dinner pada 19 Februari nanti.

PETALING JAYA – Penyanyi Zarol Zarif menganggap peluang berkongsi pentas dengan Misha Omar dalam persembahan makan malam amal pada Februari ini sebagai pemangkin semangat selepas kembali ke arena muzik.

Katanya, peluang tersebut sekali gus mematahkan suara-suara negatif yang mendakwa ‘comeback’ ketika negara masih berperang dengan Covid-19 pasti menemui jalan sukar.

“Apabila dipelawa untuk menyertai persembahan yang menampilkan penyanyi senior seperti Misha Omar sudah tentu saya teruja, tambahan pula ini antara usaha mengumpul dana membantu rakan seperjuangan lain, rumah kebajikan serta mangsa banjir.

“Nama Misha itu sendiri besar dalam industri dan secara tidak langsung menerusi peluang keemasan ini saya dapat mencungkil ilmu dan pengalaman bersamanya.

“Selain saya, persembahan makan malam itu nanti turut membariskan rakan daripada alumni Akademi Fantasia (AF), Dafi Ismail. Sudah pasti saya teruja menanti detik berkenaan.

“Jadi apabila penganjur mengajukan tawaran untuk merealisasikan acara tersebut, saya tidak fikir panjang kerana ini juga sebagai permulaan ‘comeback’ yang penuh bermakna pada awal 2022,” katanya kepada K! Online.

Bekas peserta AF musim enam itu dipilih sebagai penyanyi undangan bersama Dafi menjayakan persembahan Bunga-Bunga Cinta Misha Omar, Charity & Fundraising Gala Dinner di Hotel Royale Chulan menjelang 19 Februari depan.

Katanya lagi, selepas tahun menyepi daripada bidang nyanyian, pengaruh yang dibina menerusi YouTube dengan lebih sejuta pengikut turut memberi kelebihan kepadanya untuk mempromosikan single baharunya, Kan Kan. Semua kitu menjadi petanda untuk terus serius kembali ke arena seni suara tanah air.

“Bagi saya tiada cepat atau lambat untuk kembali semula ke bidang nyanyian asalkan sudah buat persediaan terutama menghasilkan produk baharu bersama jentera promosi.

“Pada masa sama saya mengambil langkah berani tampil dengan single Kan Kan pada November lalu seterusnya menggunakan platform YouTube saya sebagai salah satu gelanggang promosi.

“Walaupun perjuangan negara melawan Covid-19 masih belum berakhir, industri seni dan aktiviti hiburan sudah dibuka. Jadi saya tidak mahu berfikir dua kali merebut kembali impian sebagai penghibur

“Ini adalah saat yang tepat. Sudah bertahun-tahun saya tumpukan perhatian kepada YouTube, malah bagi saya kedua-dua medium ini saling berkait antara satu sama lain,” katanya yang menghasilkan tiga single termasuk Kehilangan sekitar yang dihasilkan selepas tamat AF pada 2016.

Single Kan Kan adalah kolaborasi dengan Cat Farish dan Suffren Ghafar yang dilancarkan pada 26 November lalu dan kini semakin mendapat tempat kerana ‘easy listening’ selain menambat peminat yang aktif di TikTok.

“Harapan saya selepas ini dapat pula rezeki mengadakan persembahan langsung yang juga sebahagian daripada promosi jelajah sekali gus mendekati pendengar,” tambah pemilik nama sebenar Mohamad Afzarul Dzarif Mohd Mazle itu.

Terdahulu, sejak bergelar YouTuber secara serius kira-kira lima tahun lalu, Zarol bersama dua anggota Cikidot lain meraih lebih sejuta pengikut di platform tersebut dengan jumlah tontonan mencecah 200 juta selain diikuti 380,000 pengikut di TikTok bersama 3.8 juta tanda suka.

Bersyukur mampu menjana pendapatan menerusi Cikidot Channeling, kedua-dua cabang kerjaya pilihan sama ada sebagai YouTuber dan penyanyi akan dilaksanakan seiring apatah lagi ia saling berkait rapat.

Sementara itu, Pengarah Urusan Syarikat The H Entertaiment, Encik Arman Muhammad Mustafar pula berkata, mereka memilih Zarol dan Dafi sebagai artis jemputan menyerikan Bunga-Bunga Cinta Misha Omar, Charity & Fundraising Gala Dinner berikutan kredibiliti serta populariti mereka.

“Misha Omar sudah tidak perlu diperkenalkan lagi dalam industri mahu pun dunia koporat. Kami buat kajian dulu termasuk penyanyi undangan. Majlis bermakna seperti ini memerlukan artis yang
mempunyai kualiti dan peminat ramai.

“Kalau lihat rekod penjualan tiket Misha dalam konsertnya yang terdahulu, semuanya habis dalam masa singkat. Contohnya konsert di Istana Budaya, tahun lepas.

“Pemilihan Zarol Zarif pula, dia merupakan YouTuber yang mempunyai jutaan pengikut. Kita dapat lihat kesungguhan dia untuk kembali menyanyi hingga menghasilkan lagu baharu.

“Begitu juga Dafi. Bagi kami setiap seorang mempunyai pengikut masing-masing yang nanti bukan saja datang menikmati persembahan, malah turut membantu golongan memerlukan,”
katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI