fbpx

Angsa inspirasi rekaan Ghaania

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SIFAT angsa yang tenang dan elegan diterapkan dalam koleksi menarik ini.

HAIWAN mempunyai kekuatan dan keunikan tersendiri sehingga ia menjadi inspirasi dalam rekaan fesyen yang mana karakter serta bentuk fizikalnya itu mempunyai nilai tersendiri apabila busana tersebut digayakan.

Salah satu jenama yang menjadikan haiwan sebagai inspirasi dalam rekaan mereka ialah Ghaania apabila menjadikannya sebagai tema setiap tahun dengan menampilkan gaya unik dan berani.

Pada kali ini, jenama tersebut membuat rekaan yang diinspirasikan daripada angsa dalam koleksi Swans In Fantasy dengan menonjolkan ciri-ciri feminin dan penuh kelembutan.

Menurut salah seorang perekanya, Illi Nurliyana Sufri, pihaknya memilih angsa kerana karakternya yang tenang dan elegan serta banyak idea boleh diolah menerusi haiwan itu.

“Setiap tahun kami akan memilih satu haiwan untuk diketengahkan dalam rekaan yang mana ia mempunyai cerita atau mesej tersendiri.

“Sebagai contoh, sifat angsa yang tenang dan elegan itu kami cuba gambarkan keadaan kita sekarang diuji dengan pandemik Covid-19, agar kekal tenang serta  pasti boleh menghadapi dugaan ini,” katanya yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana dalam bidang Perundangan Perniagaan Universiti Monash, Melbourne, Australia.

Mengulas lanjut mengenai koleksi Swans In Fantasy, Illi Nurliyana memberitahu, pihaknya menampilkan 12 gaya kasual yang boleh dipakai setiap hari terdiri daripada top blaus, skirt tutu dan busana satu set.

Keseluruhan koleksi itu mengambil masa sebulan untuk disiapkan dan ia didatangkan dengan pilihan saiz United Kingdom (UK) S hingga XL

“Kami menggunakan warna-warna lembut seperti merah jambu, biru dan putih yang sangat sesuai untuk menggambarkan angsa serta kewanitaan.

“Bagi pemilihan material pula, kami menggunakan fabrik yang sesuai dengan cuaca di Malaysia seperti kapas, net dan krep,” tuturnya yang berpengalaman tujuh tahun dalam bidang rekaan fesyen.

Koleksi tersebut menampilkan perincian yang sangat menarik seperti sulaman dan mengait untuk menonjolkan motif bunga serta corak angsa pada baju.

Jelas anak kedua daripada tiga beradik itu, paling mencabar ialah mengait motif bunga itu satu persatu untuk diletakkan pada skirt.

“Sudah menjadi signatur Ghaania menampilkan rekaan yang unik tetapi tidaklah terlalu pelik untuk digayakan.

“Rekaan kami menjadi pilihan wanita yang berani untuk bergaya dan ia juga mudah untuk disuai padan dengan apa jua pakaian,” ujarnya yang berasal dari Kuala Lumpur itu.

Koleksi Swans In Fantasy boleh dibeli di laman web rasminya, www.ghaania.com dan Zalora pada harga bermula RM189 sehingga RM289.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI