PETALING JAYA – Seorang jurutera hanya mampu berkongsi kasih sayang dengan anak-anak buah apabila masih belum dikurniakan zuriat walaupun sudah lima tahun mendirikan rumah tangga.
Dia yang ingin dikenali sebagai Rahmat, 33, berkata, dia sudah mencuba pelbagai cara, namun masih belum ada rezeki.
“Saya tidak sedih melihat pasangan lain menimang cahaya mata tetapi pasti ada perasaan untuk menjadi ibu dan ayah. Apa boleh buat ia belum ditentukan dan semoga ada rezeki buat kami.
“Berkongsi kasih sayang dengan anak buah sekurang-kurangnya mengurangkan kesedihan kami yang masih belum dikurniakan zuriat,” katanya.
Tambahnya, pemeriksaan di hospital mengatakan isterinya tidak mempunyai masalah tetapi ia disebabkan oleh sperma yang tidak berkualiti menyukarkan proses persenyawaan berlaku.
Menurut Rahmat, doktor menasihatkannya supaya berhenti merokok dan aktif dalam bersukan untuk mendapatkan semula kualiti sperma.
Dalam pada itu, seorang kakitangan swasta dikenali sebagai Azril, 40, berkata, selama ini dia menjangkakan isterinya mempunyai masalah kesuburan berikutan keadaan fizikalnya yang sedikit berisi, namun semuanya berubah selepas dia mendapatkan pemeriksaan di sebuah klinik rawatan persenyawaan in-vitro.
“Kami berkahwin tujuh tahun lalu hingga membuat keputusan mengambil anak angkat. Ketika membuat pemeriksaan baru-baru ini, saya terkejut apabila mengetahui masalah berpunca daripada saya sendiri.
“Selama ini saya sangka ia salah isteri kerana dia sudah berusia 44 tahun selain kami lambat berkahwin,” katanya yang kini mula mengamalkan hidup sihat.
Seorang lagi lelaki yang ingin dikenali sebagai Fadhli, 38, berkata, dia gagal mendapat zuriat kerana kandungan spermanya yang tidak berkualiti.
“Saya sudah berkahwin selama 10 tahun dan bersyukur kerana isteri yang memahami situasi saya. Sudah pelbagai ikhtiar dilakukan, namun masih gagal dan saya harap ada rezeki suatu hari nanti,” katanya yang masih terus berusaha. -K! ONLINE














