fbpx

Warga emas didakwa kes pengubahan wang haram RM2.7 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lai Ching Wai, 63, dibawa ke Mahkamah Sesyen, Seremban 2, bagi pertuduhan kes pengubahan wang haram, hari ini.- MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

SEREMBAN – Seorang warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 21 pertuduhan memindah dan menggunakan akaun miliknya untuk aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM2.7 juta antara 2015 hingga 2020.

Tertuduh, Lai Ching Wai, 64, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim Diana Md. Razali.

Mengikut pertuduhan Ching Wai yang merupakan bekas kontraktor didakwa telah memindahkan wang secara berasingan antara RM150,000 hingga RM660,000 keseluruhan berjumlah RM2.7 juta yang merupakan hasil daripada aktiviti wang haram daripada akaun bank miliknya ke akaun bank milik sebuah syarikat.

Kesalahan itu dilakukan di beberapa buah bank di sekitar Seremban antara 2 November hingga 11 November 2020.

Ching Wai turut didakwa menggunakan akaun simpanan miliknya sebagai peralatan kesalahan berkaitan dengan pelakuan aktiviti haram itu di beberapa buah bank di Seremban antara 21 Ogos 2015 hingga 19 Ogos 2020.

Sehubungan itu, pendakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Terdahulu, peguam, S.Karthigesan yang mewakili tertuduh memohon jaminan paling minimum dikenakan ke atas anak guamnya yang memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd. Jeffery Ong.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 15 Februari depan sebagai tarikh sebutan kes.

Sebelum ini, media melaporkan pada Oktober lalu Ching Wai didakwa atas 172 pertuduhan membantu menyembunyikan wang bernilai RM2.9 juta yang bukan miliknya sejak 2016 hingga 2020. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI