fbpx

Bakal cikgu, Aliff Iskandar elak gimik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ALIFF ISKANDAR

MUNGKIN bagi sesetengah pihak, perjalanan karier seni bakat muda, Aliff Iskandar sebagai penyanyi bergulir tanpa banyak cabaran, semuanya tampak mudah.

Dalam masa kurang setahun, lagu dendangannya sudah banyak melatari beberapa drama televisyen.

Berjaya membolosi Top 5 kategori Artis Baharu Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular (ABP), baru-baru ini juga menjadi satu tanda aras populariti yang sedang diraih.

Hakikatnya pemilik nama penuh Nor Aliff Iskandar Norazmi, 21, itu mengakui, berdepan cabaran dan tekanan hampir sama sebagaimana rakan sealiran yang baru hendak menyerlahkan bakat ke mata umum.

Bagi Aliff, kemanisan atau kepayahan sejak mula menapak sebagai singer song writer menjadi penyuntik semangat untuk terus berkarya, tanpa mudah mengalah mahu cepat berpuas hati.

Mengenggam matlamat ingin terus melangkah jauh dalam industri seni muzik, Aliff juga sentiasa menjaga kemas kisah peribadi, selain berhati-hati melangkah agar tidak terjatuh ke lembah kontroversi.

ALIFF ISKANDAR seboleh-bolehnya mahu mengelak gimik atau publisiti murahan demi meraih populariti atau menghangatkan apa jua agenda promosi single baharunya.

Kontroversi

Baginya, selain mahu nama baik keluarga terpelihara, profesion perguruan yang bakal disandang menjadi sempadan untuknya kekal bersih tanpa terpalit sebarang isu atau gimik keterlaluan.

“Saya masih terlalu hijau dalam bidang ini. Apabila lagu saya diterima dan kerap menjadi pilihan drama televisyen sebagai lagu runut bunyi, saya lihat itu satu bonus.

“Pada masa sama saya tak kisah jika masih perlu berusaha menonjolkan diri dengan cara saya sendiri daripada mencipta gimik untuk lebih popular.

“Membawa diri selaku penyanyi dan bakal meneruskan kerjaya dalam arena pendidikan suatu hari nanti turut mengingatkan saya supaya sentiasa sedar tujuan asal menceburi bidang ini.

“Jika boleh tentu saya tidak mahu terkait dengan perkara kontroversi atau terjebak dalam situasi yang boleh menjejaskan nama ibu bapa mahu pun institusi tempat saya belajar. Jika boleh dielak, kita elak saja,” katanya.

DUNIA pendidikan yang bakal dilalui usai menamatkan pengajiannhya suatu hari nanti membuatkan Aliff sentiasa berhati-hati dalam setiap tingkah laku atau sebarang hantaran dalam media sosial.

Prinsip

Tidak hairan apabila penuntut Institut Perguruan Kampus Ilmu Khas, Cheras dalam jurusan Pendidikan Muzik itu kekal menjaga prinsip agar sentiasa berhati-hati menjaga tingkah laku, kata-kata dan pergaulan.

Bukan sekadar pembawakan diri, segala muat naik status mahupun gambar dan video di dalam laman sosialnya dijaga rapi bagi menggelakkan sebarang perkongsian disalah erti.

Akui Aliff lagi, andai individu lain berani mencipta gimik murahan dalam media sosial supaya nama meledak, terutama dalam melariskan produk baharu, dia pula lebih rela mempromosikan lagu tanpa sebarang ‘kekecohan’

“Memang ikutkan dalam kebangkitan dunia sosial media tanpa sempadan ini, ramai yang semakin berani melakukan apa saja demi sebuah content atau pengisian supaya gambar atau video mereka jadi tatapan umum.

“Kelebihan ini adalah perkara yang kita tak dapat sangkal. Semakin berani atau panas sesuatu content, bertambah besar peluang untuk ia tersebar lebih meluas hingga tatapan masyarakat luar negara.

“Cuma mungkin saya jenis tidak percaya gimik murahan, kerana yakin terhadap kualiti memandangkan kita sendiri menyukai hasil yang diperakui bermutu berbanding benda atau perkara mengikut musim,” katanya yang kini muncul dengan single baharu berjudul Takdir.

Istimewanya, lagu berkenaan turut menjadi lagu runut bunyi (OST) drama bersiri Saat Ku Takluk Cinta Ini siaran slot Samarinda TV3 bermula 20 Disember lalu.

Buktinya, tanpa gimik atau publisiti melampau, lagu berkenaan semakin mendapat tempat seiring penerimaan penonton terhadap drama berkenaan.

BARU setahun jagung dalam industri, nyanyian Aliff Iskandar kini banyak melatari drama-drama televisyen sebagai lagu runut bunyi.

Bercerita tentang Takdir yang merupakan ciptaan Aliff, manakala seni kata diilhamkan bersama Jaja Ishak yang juga penerbit drama tersebut membawa khalayak menyelami perasaan seorang insan yang berdepan percintaan tidak kesampaian.

Single Takdir juga terbitan Jaja Ishak Channel dengan kerjasama Indigital Music serta Alternate Records yang dimuat naik menerusi saluran YouTube bermula pada 9 Disember lalu.

Sementara itu, kongsi Aliff yang mula menulis lagu sejak usia belasan tahun, selain peristiwa membabitkan dirinya sendiri, pengalaman rakan terdekat juga sering mencetuskan idea dalam penghasilan sesebuah karya.

“Takdir mengisahkan percintaan tidak kesampaian. Semua orang mampu merencanakan hubungan dimahukan tetapi pada akhirnya takdir jadi penentu,” jelas Aliff.

Sebelum Takdir, sebuah lagunya, Perit turut menjadi OST drama bersiri popular, Perempuan Tanpa Dosa serta beberapa karya lain termasuklah Angkara Cinta, Bougainvillea dan Rahimah Tanpa Rahim.

Atas rekod memberangsangkan, sentuhan anak muda kelahiran Kelantan itu mula menarik minat beberapa pihak terutama daripada rumah produksi yang ingin mendapatkan sentuhannya sebagai OST drama.

ALIFF teruja lagu ciptaannya, Takdir dan lirik oleh Jaja Ishak (kanan) dipilih menjadi OST drama Saat Ku Takluk Cinta Ini yang sedang hangat menemui penonton televisyen ketika ini.

Rakaman 10 jam

Berkongsi pula kerja rakaman, nyata Aliff tidak lupa pengalaman berada dalam studio apabila mengambil masa selama 10 jam berikutan keadaan kesihatan yang masih belum pulih sepenuhnya selepas diserang Covid-19.

“Waktu itu saya sudah sihat tetapi belum sepenuhnya.

“Walaupun sudah melepasi tempoh kurantin, pernafasan agak terganggu sehingga menganggu proses kelancaran rakaman.

“Sebenarnya situasi tersebut turut memberi kelebihan kerana disebabkan ingin hasil terbaik. Kami baiki setiap kelemahan dengan bebarapa kali cubaan. Itu yang ambil masa panjang.

“Apa pun saya teruja dan berpuas hati sebaik mendengar hasil terakhir.

“Berbaloi peruntukkan masa sampai 10 jam demi mendapatkan hasil terbaik,” tambahnya lagi yang mengakui sedang mempersiapkan bahan untuk bingkisan seterusnya.

Mempunyai banyak stok lagu di dalam simpanan, dedah Aliff, tidak semua karyanya itu sesuai dinyanyikan sendiri.

Dia terbuka jika ada penyanyi lain yang sudi mahu berkerjasama dengannya pada masa depan.

MULA mencipta lagu sejak usia belasan tahun, Aliff kini mempunyai banyak stok lagu untuk dikongsikan keoada umum, baik dinyanyikan sendiri mahupun untuk diberikan kepada mana-mana penyanyi lain yang sudi menggunakan khidmatnya sebagai komposer.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI