fbpx

41 sarang dadah dikenal pasti di Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mior Faridalathrash Wahid (kanan) menyampaikan surat penghargaan kepada penerima pada Majlis Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) di Ipoh.

IPOH – Polis mengenal pasti 41 kawasan panas di negeri ini yang menjadi sarang penagih dadah untuk melepaskan gian.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, semua ketua polis daerah telah diarahkan untuk memberi tumpuan pada usaha-usaha menghapuskan sarang-sarang dadah yang terdapat di daerah masing-masing.

Katanya, jenayah membabitkan dadah khususnya aktiviti penagihan merupakan antara fokus penting yang digariskan Kontinjen Perak pada tahun ini.

“Lokasi panas ini ada di pelbagai tempat seperti kawasan perumahan dan ladang kelapa sawit. Bagaimana pun, kita telah kenal pasti lokasi yang berisiko dan akan cuba hapuskan supaya tiada lagi sarang dadah di negeri ini.

“Selain menghapuskan sarang dadah, kita juga menyasarkan untuk melakukan tangkapan berskala besar membabit sindiket dadah.

“Oleh itu, semua ketua polis daerah telah diarahkan supaya memberi tumpuan berkaitan perkara tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) di sini hari ini.

Menurut beliau, dalam usaha membanteras jenayah dadah, pihaknya juga menggalakkan penglibatan orang ramai dengan tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis.

“Terima kasih kepada masyarakat yang menyalurkan maklumat kepada polis. Saya berharap kerjasama ini akan diteruskan bagi kita memperhebatkan gerakan untuk menghapuskan kegiatan pengedaran dan penagihan dadah,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan berlainan, beliau berkata, Polis Perak merekodkan kutipan bayaran saman sebanyak RM18.1 juta dalam tempoh sebulan sejak 1 Disember lalu.

“Sebanyak RM1.89 juta bayaran saman diperolehi melalui kempen penawaran 50 peratus oleh Kontinjen Perak manakala tawaran diskaun 80 peratus pula merekodkan RM16.21 juta saman telah dibayar,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI