fbpx

Ratu fesyen pelik, Aina dah fikir nak pakai baju apa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAYA unik Aina Abdul pada SFMM yang menjadi perhatian ramai.

PETALING JAYA – Penyanyi Aina Abdul yang sinonim jolokan ratu fesyen pelik sekali lagi menjadi perhatian.

Terbaharu, fesyen yang digayakan Aina ketika menjayakan persembahan pada pentas Semi Final Muzik-Muzik ke-36 (SFMM36) untuk dua hari berturut-turut semestinya menjadi bahan bualan netizen dalam alam maya.

Manakan tidak, persembahan pertamanya untuk lagu Sepi pada Jumaat lalu menyaksikan dia tampil dengan imej unik iaitu mengenakan pakaian seperti baju sejuk bersaiz besar tidak ubah seperti ‘comforter’ atau toto sehingga tular dalam internet.

Sementara persembahan keduanya malam tadi dengan lagu Nafas Cinta bersama Khai Bahar turut menjadi bualan kerana dia mengenakan busana ‘bulu ayam’ rekaan Melinda Looi.

Menurut pereka fesyen busana malam pertama, Masyadi Mansoor, gaya tersebut memang diinspirasikan daripada katil. Semua itu berdasarkan penceritaan Aina semasa menulis lagu Sepi yang ditulis ketika sebelum tidur ketika berada di atas katil.

“Katil juga tempat di mana seseorang akan mula terfikirkan tentang diri sendiri.  Lagu itu juga ditulis Aina semasa sebelum tidur di katilnya. Katil juga tempat orang mula berhubung dengan diri sendiri dan tidak mengendahkan kata-kata negatif,” kata Masyadi mempertahankan penampilan Aina.

Aina dalam beberapa hantaran Instagramnya pula meluahkan keterujaan dan kegembiraan kerana kedua-dua lagu tersebut layak ke pentas Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36) ketika sesi pengumuman 12 finalis yang berlangsung semalam.

“2021 adalah tahun yang mencabar, teruja dan syukur buat karier saya. Alhamdulillah, dua buah lagu karya saya bersama pasukan muzik diberi peluang ke AJL36.

“Hati saya sangat gembira tapi tanggungjawab kali ini lebih besar dari dua tahun sebelum ini,” ujarnya yang sudah dua kali bertanding di pentas AJL iaitu pada 2020 dan 2021 masing-masing untuk lagu Sumpah dan Semalam.

Bersyukur kerana dua buah lagu miliknya layak ke pentas final, Aina tidak dapat menyembunyikan rasa teruja sekali gus mendedahkan dia kini sudah memikirkan pakaian apa yang ingin digayakannya pada malam persembahan nanti.

“Sejujurnya saya teruja dan dah mula fikir apa yang saya perlu sampaikan, susunan muzik macam mana yang nak diketengahkan, baju apa nak dipakai dan banyak lagi perancangan lain,” tulisnya.

Semalam, 12 finalis diumumkan berjaya ke pentas AJL36 antaranya Shiha Zikir untuk lagu AEWO, Haqiem Rusli (Mimpi), Siti Nordiana (Angkara), Marsha Milan (Cinta), Naim Daniel (Purnama), Ernie Zakri (Boneka) dan Yonnyboii (Salahku). – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI