fbpx

Penjawat awam perlu ketepikan kepentingan peribadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Zuki.

PUTRAJAYA – Semua anggota perkhidmatan awam diseru untuk sentiasa bersikap proaktif dan responsif dalam memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik terhadap keperluan semasa rakyat dan negara ini.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, kerjasama kukuh, kesefahaman yang jitu dan sokongan rentas agensi dengan mengetepikan kepentingan individu serta ego adalah ramuan utama kejayaan dalam memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik dapat diberikan.

“Episod suka dan duka sepanjang tahun 2021 memberikan satu pengajaran, pengalaman berharga dan peluang menilai kesiapsiagaan negara dalam merencana strategi untuk mengimbangi antara kepentingan nyawa serta kelangsungan hidup rakyat.

“Semua itu akan menjadi cerminan kepada keberkesanan dasar, kelancaran pelaksanaan operasi, kesefahaman dan kesatuan jiwa jentera kerajaan dalam menghadapi sebarang cabaran mendatang,” katanya menerusi ucapan amanat tahun baharu 2022, hari ini.

Beliau berkata, walaupun negara mungkin belum berjaya sepenuhnya dan tidak sempurna, namun anggota perkhidmatan awam diharapkan sentiasa teguh dalam menggalas amanah dan tanggungjawab demi negara.

Jelasnya, usaha memerangi penularan wabak Covid-19 yang berterusan sejak tahun 2020 sehingga proklamasi darurat terpaksa diisytiharkan dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan memberikan kesan ekonomi dan sosial yang sedikit sebanyak mengganggu perancangan dan pembangunan negara.

“Namun berkat kesepakatan dalam sinergi mantap untuk mengimbangi antara kepentingan nyawa serta kelangsungan hidup rakyat, Pelan Pemulihan Ekonomi komprehensif dan inklusif yang dilaksanakan merangkumi lapan pakej rangsangan berjumlah lebih RM530 bilion telah membantu kelangsungan perniagaan serta kesejahteraan rakyat.

“Begitu juga dengan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dalam memastikan setiap rakyat mendapat akses kepada vaksinasi bagi usaha menjamin keselamatan diri rakyat daripada penularan berterusan wabak Covid-19 dalam negara,” ujar beliau. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI