fbpx

Baik buruk teknologi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
MUHAMMAD FIRDAUS FAHMI JUNAIDI,
WARTAWAN EKSEKUTIF

MELANGKAH ke tahun baharu hari ini, masyarakat pasti akan berbicara mengenai perubahan yang ingin dilakukan untuk bergerak seiring masa. Adapun perubahan itu termasuk aspek pemikiran, kewangan, sosial dan sikap dalam diri sendiri.

Sedar tak sedar, pemikiran masyarakat turut berubah sejak pandemik Covid-19 bermula. Teknologi dilihat memainkan pera­nan sama ada memberi kebaikan atau keburukan dalam mempengaruhi pemikiran ma­sya­­rakat terutama secara dalam talian.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) ada mengeluarkan Laporan Survei Penggunaan dan Capaian ICT oleh Individu dan Isi Rumah 2020.

Kajian mendapati, penggunaan internet dalam kalangan rakyat berusia 15 tahun ke atas meningkat kepada 89.6 peratus tahun lalu berbanding 84.2 peratus pada 2019, peningkatan berlaku sebanyak 5.4 peratus.

Justeru, adakah sekarang ini teknologi dilihat mampu me­nga­­wal psikologi (pemikiran) ma­syarakat?

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Aini Azeqa Ma’rof berkata, teknologi sudah menjadi ke­perluan masyarakat untuk bertahan dalam era sekarang.

Namun katanya, kekurangannya adalah apabila fokus bertumpu kepada jumlah interaksi tanpa menekankan ‘hubungan yang bermakna’ atau kualiti suatu hubungan.

“Walaupun e-mel, WhatsApp dan panggilan video dapat dila­kukan, namun tidak boleh menggantikan interaksi fizikal yang lebih mewujudkan pemahaman emosi seseorang dengan lebih mendalam, rasa diperlukan serta lebih memahami ke­perluan individu.

“Pertemuan fizikal sangat berbeza daripada komunikasi dalam talian dari segi kualitinya. Kini, kuantiti dilihat mengatasi kualiti. Bukan sahaja kepada ge­nerasi muda, tetapi juga dewasa, semuanya terpengaruh oleh tek­nologi,” katanya.

Tambahnya, istilah Fear of Missing Out menjadikan mereka sentiasa ingin tahu perkemba­ngan terkini kerana takut ketinggalan atau tidak mengikut trend.

“Teknologi turut memberi kesan kepada sikap dan adab individu yang dilihat berkura­ngan kerana masing-masing fokus untuk perkara tersebut sehingga tidak menghiraukan orang sekeliling.

Secara psikologinya, ia mengganggu hubungan interpersonal seseorang dan membawa kepada konflik kendiri.

“Kita tidak boleh mengelak untuk dipengaruhi teknologi, namun digalakkan penggunaan secara sederhana atau bila perlu sahaja kerana ‘apa sahaja dalam kesederhanaan, tidak boleh mem­bunuh kita’, tetapi membuatkan kita terus bergerak ke hadapan dengan bantuan tek­no­logi,” katanya.

Beliau turut mencadangkan inisiatif dalam memastikan pemikiran masyarakat tidak dikawal oleh teknologi. Antaranya dengan menetapkan had masa ketika menggunakan teknologi untuk perkara penting sahaja.

Selain itu, pengguna dinasihatkan untuk membuat pilihan dengan bijak dalam memilih bahan yang memberi manfaat kepada diri sendiri sahaja kerana apa yang dibaca akan mempe­ngaruhi pemikiran.

Selain itu, pengguna juga tidak perlu terlalu mengikut trend semasa dan melihat keperluan dan bukannya keinginan. Sekiranya pengguna tertekan hanya kerana untuk mengikuti trend, perkara tersebut sudah lari daripada rea­liti sosial masyarakat.

Secara konklusi, teknologi ditakuti mengatasi interaksi manusia yang mampu melemahkan sifat kemanusiaan seseorang se­kiranya tanpa kawalan.

Kita tidak boleh mengawal teknologi, tetapi boleh mengawal cara kita menggunakannya untuk manfaat diri dan sosial. Maka, biar­lah psikologi mempengaruhi cara penggunaan teknologi. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI