fbpx

MyRER sasar pelaburan RM53 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Takiyuddin menyampaikan taklimat berkenaan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Tenaga Boleh Baharu (MyRER) di Wisma Sumber Asli, Putrajaya semalam.

PUTRAJAYA – Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) menjangka Pelan Hala Tuju Tenaga Boleh Baharu Malaysia (MyRER) 2021-2035 mampu menarik pelaburan sehingga RM53 bilion dalam sektor Tenaga Boleh Baharu (TBB).

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, MyRER mampu menarik pelaburan sebanyak RM20 bilion pada tahun 2025 dan RM33 bilion lagi menje­lang tahun 2035.

Jelasnya, MyRER merupakan pendekatan serampang tiga mata kementerian kerana mampu meningkatkan kapasiti campuran TBB dalam bekalan elektrik negara dan pada masa sama, membantu negara memenuhi komitmen perubahan iklim.

“Selain itu, ia juga bakal menyediakan hampir 47,000 peluang pekerjaan langsung dalam bidang TBB,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan MyRER di sini semalam.

MyRER akan dilaksanakan bermula tahun ini hingga 2035 menerusi agensi-agensi kerajaan serta inisiatif pihak swasta termasuk pengusaha dan penggiat industri TBB.

Menurut Takiyuddin, MyRER yang disediakan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari atau SEDA Malaysia turut memperincikan perancangan pembangunan TBB negara serta laluan terbaik untuk peralihan ke arah sistem tenaga rendah karbon bagi tempoh jangka masa pendek dan sederhana.

Tambahnya, ia juga menyediakan panduan kepada pemain industri mengenai hala tuju pembangunan TBB negara selain mengenal pasti potensi, sasaran, kerangka strategik serta jangkaan nilai limpahan ekonomi bagi industri TBB.

“MyRER akan menjadi rujukan bagi unjuran kapasiti serta strategi nasional untuk mencapai sasaran 31 peratus TBB menjelang tahun 2025 dan 40 peratus menjelang tahun 2035.

“Selain itu, MyRER turut menggariskan kerangka strategik untuk mencapai visi pembangunan TBB negara iaitu ‘Ke Arah Sistem Tenaga Rendah Karbon’ melalui pelaksanaan empat tonggak berasaskan teknologi iaitu solar, bio-tenaga, hidro dan sumber-sumber baharu,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI