fbpx
GAMBAR HIASAN

Resah, teruja menanti kehadiran tahun 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
ZURAINI MOHD KHALID,
WARTAWAN EKSEKUTIF

PEJAM celik, pejam celik, berbaki hanya sehari sahaja lagi sebelum kita semua menyambut kedatangan tahun 2022.

Penulis percaya, setiap kali tibanya tahun baharu, pasti ada satu perasaan ‘tertekan’ yang dirasai dan juga rasa resah terhadap apa yang menanti.

Tertekan kerana usia makin bertambah, tertekan kerana ma­sih banyak lagi azam yang belum tercapai dan tertekan kerana sehingga ke hari ini, entah apa sahaja azam yang sudah tercapai.

Malah, ada antara kenalan penulis yang mengeluh kerana si­tuasi pandemik yang masih belum reda selepas hampir dua tahun sedikit sebanyak memperlahankan pencapaian azam dan harapan yang dibawa ketika memasuki tahun baharu.

“Kalau bukan kerana pandemik, mungkin tahun ini aku tidak kehilangan kerja dan sudah beli rumah pertama,” demikian luah seorang kenalan yang diuji de­ngan kehilangan kerjaya sejurus selepas memasuki tahun 2021.

Faktor luaran sebegitu sudah tentu membawa lebih banyak tekanan dalam laluan mencapai azam yang sudah dijadual.

Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Keluarga dari Jabatan Psikologi dan Pendidikan Kaunseling Universiti Malaya, Dr. Rafidah Aga Mohd. Jaladin, rasa tertekan sebelum melangkah masuk ke tahun baharu atau apa-apa yang sifatnya baharu itu sebenarnya merupakan sesuatu yang normal.

“Manusia itu sifatnya berkembang dan rasa tertekan itu merupakan satu fitrah kerana apabila memasuki fasa tahun baharu, kita cenderung mengimbas semula pencapaian-pencapaian da­lam hidup.

“Sebagai contoh, kita mula mengimbas kembali azam yang tidak tercapai dan juga rasa tertekan yang muncul akibat daripada pertambahan usia,” katanya ketika dihubungi Kosmo! kelmarin.

Justeru, Rafidah menambah sebagai manusia, kita seharus­nya cuba untuk tidak terlalu memfokuskan kepada perkara ne­gatif seperti azam yang tidak sempat dicapai, sebaliknya melihat kembali apa antara azam-azam kecil yang mungkin sudah tercapai tanpa sedar.

“Rasa tekanan itu lazimnya timbul apabila kita terlalu memfokuskan kepada penyesalan atau ‘regrets’ pada tahun itu dan bukannya pencapaian atau ‘highlights’ yang berlaku dalam satu-satu tempoh.

“Sebagai contoh, mungkin azam atau harapan besar seperti mahu beli rumah pertama itu tidak tercapai, namun mungkin ada harapan kecil yang rupanya sudah pun terlaksana.

“Pendapat saya, pencapai­an itu walau sekecil mana pun masih satu kemajuan, maka ia seharusnya tetap diraikan,” kata­nya lagi.

Azam-azam tak tercapai yang dibawa ke tahun-tahun berikut­nya bukan petanda kita gagal, ia sebaliknya merupakan peluang tambahan untuk terus dilaksa­nakan.

Bukankah dalam setiap keada­an itu, kita sendiri yang memberikannya makna dan kita juga yang boleh memilih untuk melihatnya daripada sudut yang negatif atau positif?

Akhir kata, selamat menyambut tahun baru 2022. -K! ONLINE

POPULAR