fbpx

‘Rugi RM100,000 akibat bah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LOKASI majlis kahwin di Kuala Langat yang dinaiki air baru-baru ini.

PETALING JAYA – Musibah banjir yang melanda negara minggu lalu bukan sahaja menyebabkan penduduk di Lembah Klang menanggung kerugian akibat kerosakan harta benda tetapi situasi itu turut dialami pengusaha maj­lis perkahwinan.

Berkongsi keperitan dialami, pengusaha Klassique Touch Weddings & Events Sdn. Bhd, Asyraf Othman berkata, syarikatnya kerugian kira-kira RM100,000 selepas tujuh majlis terpaksa dibatalkan selain kerosakan barang perkahwinan pada 18 dan 19 Disember lalu.

“Hujan lebat menyebabkan air masuk ke dalam dewan sehingga mencecah paras lutut dan merosakkan semua barangan dan persiapan perkahwinan.

“Tetamu yang hadir kira-kira 20 peratus sahaja menyebabkan banyak makanan akhirnya diagih­kan kepada mangsa bah dan rumah anak yatim, manakala cenderamata terbiar begitu sahaja,” katanya di sini semalam.

SITI FASEHA dan suami bergambar selepas majlis pernikahan.

Luahan sama disuarakan pemilik Dins Aiman Katering, Nasirudin Nawawi, yang memberitahu, banjir yang melanda meranapkan impian pelanggan­nya di Kampung Bukit Changgang, Kuala Langat selepas pe­lamin musnah ditenggelami air.

“Keadaan menjadi tidak terkawal kira-kira pukul 11.30 pagi apabila air naik dengan laju sehingga merosakkan khemah dan menenggelamkan pelamin di dalam rumah,” ujarnya.

Nasirudin memberitahu, dia mengalami kerugian apabila banyak peralatan perkahwinannya rosak selain ada antaranya di­hanyutkan air.

Sementara itu, hasrat pengantin baharu, Siti Faseha Zainudin dan suaminya Hafiz Keliwon untuk merakam momen bahagia di atas pelamin tidak kesampaian selepas rumah di Kampung Cemperai, Dengkil dinaiki air sehingga paras dada pada Sabtu lalu.

Siti Faseha memberitahu, air mula naik selepas dia selesai di­ijabkabulkan di Masjid Jameatus Solehah di sini pukul 10 pagi.

“Selesai nikah, kami pulang ke rumah dan air telah naik sedikit demi sedikit sehingga ke paras dada. Kami tidak sempat bergambar di atas pelamin kerana telah ditenggelami air.

“Trauma dan sedih, kerugian sangat besar, Kenangan bersama arwah bapa ‘lenyap’ begitu sahaja. Ini pertama kali kami di­timpa berhadapan dengan banjir besar,” luahnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI