fbpx

Anugerah Canselor ubat duka kematian bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NUR ALIA FARISHA menyifatkan Anugerah Canselor yang diterimanya berkat pengorbanan arwah bapanya yang tidak kenal erti penat lelah membesarkannya dan adik-beradik lain

SUASANA Majlis Konvokesyen Ke-19 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang berlangsung pada 30
November lalu bertukar hiba saat seorang penerima Anugerah Canselor naik ke atas pentas.

Ia selepas Nur Alia Farisha Jemangin, 23, mengaitkan kejayaan diperolehitu dengan semangat bapanya yang meninggal dunia akibat lumpuh.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang dengan Kepujian Kelas Pertama itu kehilanggan bapanya, Jemangin Maidi ketika di tahun keempat pengajian.

Sebelum bapanya menghembuskan nafas terakhir, Nur Alia Farisha terpaksa menghabiskan masa hujung minggunya di hospital hampir setengah tahun.

Disebabkan sering berulang-alik dari kampus ke hospital, anak bongsu daripada lima beradik itu
tidak mempunyai cukup masa untuk mengulang kaji pelajaran berbanding rakan-rakan lain.

“Arwah bapa adalah nadi kepada saya. Sebagai anak perempuan tunggal, saya amat rapat dengannya. Selepas bapa jatuh sakit, saya berjanji menjaganya pada hujung minggu.

“Jadi, saya kurang mengulang kaji pelajaran kerana perlu berulang-alik ke hospital dan kampus. Namun, berkat menjaga arwah bapa, saya berjaya mendapat Anugerah Dekan hampir setiap semester.

“Kejayaan ini ditujukan khusus buat arwah bapa yang sering memberi semangat dan galakan kepada saya untuk menceburi bidang undangundang,” katanya dalam nada sedih ketika ditemu bual baru-baru ini.

Hakikatnya, bukan mudah bagi gadis berasal dari Kuala Lumpur itu untuk bangkit kembali selepas kehilangan insan paling rapat dengannya.

Cerita Nur Alia Farisha, dia berasa sangat sedih apabila mengenangkan penat lelah arwah bapa
membesarkan dia dan abang-abangnya, selain tanggungjawab menjaga ibu.

“Meskipun sedih, saya bangkit kembali dengan menguatkan azam dan sentiasa percaya, setiap
kebaikan dilakukan anak-anak akan sampai sebagai pahala kepada arwah bapa,” tegasnya.

BIARPUN sibuk dengan pelajaran, gadis ini tetap meluangkan masa menyertai aktiviti kokurikulum di kampus.

Gadis itu memaklumkan, dia tidak pernah bermimpi atau berangan-angan mendapat Anugerah Canselor memandangkan masih ramai lagi rakan-rakan yang lebih hebat.

Katanya, ahli keluarga, pensyarah serta rakan-rakan tidak pernah berhenti memberi semangat dan yakin bahawa dirinya mampu mendapat Anugarah Canselor.

“Ternyata kata-kata yang diucapkan oleh mereka itu merupakan doa mustajab. Saya sangat bersyukur
kepada Allah kerana memilih saya sebagai penerima anugerah ini.

“Saya rasa segala penat lelah dan keringat dicurahkan serta disulami kesedihan dialami sepanjang pengajian akhirnya terbalas jua dengan anugerah ini,” tuturnya..

Untuk makluman, faktor utama mendorong Nur Alia Farisha melanjutkan pengajian dalam jurusan
undang-undang disebabkan sifatnya yang suka menjadi orang tengah.

Dia tidak suka kepada perselisihan, maka dirinya membantu menyelesaikan masalah atau krisis yang timbul dalam kalangan ahli keluarga atau rakan-rakan.

Walaupun sibuk dengan hal peribadi dan pengajian, namun dia tetap meluangkan masa menyertai
aktiviti kokurikulum sama ada di dalam mahupun luar kampus.

Dia sangat aktif menyertai pertandingan simulasi perbicaraan mahkamah atau dikenali sebagai mooter
yang dianjurkan oleh pihak universiti atau organisasi bukan kerajaan.

Menerusi pertandingan itu, Nur Alia Farisha berpeluang menganalisa masalah, menyelidik undang-undang serta menyediakan hujah secara bertulis dan lisan.

“Saya pernah mendapat tempat ketiga pada Syariah Moot Court Competition 2018 dan juara dan pembahas terbaik Tun Zaki Intramural Mooting Competition.

“Hasil bimbingan mentor, Dr. Nizam Awang, kumpulan kami berjaya mengecapi beberapa kejayaan.

“Pentas mooter merupakan peluang terbaik untuk mengutip pengalaman berharga,” ujarnya.

Di samping itu, dia sering mengikuti majlis tausiyah dan ta’lim pada sebelah malam bagi mengisi hati sebagai salah satu cara mengisi jiwa dan rohani.

Ketika ini, gadis berpenampilan sederhana itu sedang menjalani latihan dalam kamar selama sembilan bulansebelum bergelar peguamcara dan peguambela.

“Saya sedang menjalani latihan dalam kamar di sebuah firma guaman dan berhasrat menjadi peguam satu hari nanti, sekali gus membantu memperjuangkan hak klien.

“Saya bercadang untuk melanjutkan pelajaran hingga ijazah doktor falsafah (PhD) bagi meningkatkan kepakaran.

“Tetapi ia akan dibuat selepas lima hingga 10 tahun akan datang,” ungkapnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI