Kejadian buli di sekolah dan asrama biasanya sukar untuk dikesan kerana mangsa telah diugut agar tidak mendedahkan kejadian yang berlaku kepada mana-mana pihak khususnya guru dan warden asrama sekiranya tidak mahu dicederakan.
Biasanya, pihak sekolah dapat mengesan kejadian buli yang berlaku daripada murid-murid lain yang merupakan rakan mangsa, selain daripada guru kaunseling.
Ini kerana, mangsa buli biasanya sering kelihatan murung dan guru kaunseling merupakan antara individu terawal yang dapat mengesannya kerana mangsa biasanya akan bercerita masalah dihadapinya ketika sesi kaunseling di sekolah.
———————————————————————————————————————————————————————————-
SELEPAS membuat semakan menerusi online, Wan Mohd. Azri Wan Mat, 39, teruja apabila mendapat tahu anaknya, Wan Nur Asyikin, 12, terpilih untuk menduduki Ujian Kecenderungan Kemasukan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang dijadualkan pada 9 Januari ini.
Apatah lagi, dia memang sudah merancang untuk menghantar anak sulungnya itu ke sekolah berasrama penuh bagi membolehkan pencapaian cemerlangnya di peringkat sekolah rendah diteruskan ke peringkat menengah.
Namun, disebalik kegembiraannya itu, dia tetap berasa bimbang tentang nasib yang bakal menimpa anaknya sekiranya puteri sulungnya itu diterima masuk ke sekolah berasrama penuh bagi sesi persekolahan 2022 nanti.
“Apabila melihat video rakaman yang tular mengenai kes buli di sebuah MRSM yang berlaku baru-baru ini, hati saya mula bimbang apakah anak saya akan melalui perkara sama sekiranya dia diterima masuk ke sekolah berasrama penuh nanti.
“Walaupun anak saya perempuan, saya tetap risau kerana kes buli di sekolah terutama di asrama tidak hanya berlaku dalam kalangan murid lelaki, tetapi turut berlaku dalam kalangan perempuan.
“Saya bimbang sikapnya yang lemah lembut dan tidak suka melawan itu akan menyebabkan ada murid lain cuba mengambil kesempatan dengan membuli atau lebih teruk lagi sehingga mencederakannya,” ujarnya.

Dia yang merupakan seorang pegawai tentera bagaimanapun tetap akan menghantar anaknya ke sekolah berasrama penuh sekiranya permohonan anaknya itu diluluskan walaupun hatinya berasa berat apabila memikirkan isu kes buli yang semakin menjadi-jadi sekarang.
Awal Disember lalu, tular di media sosial mengenai sebuah video memaparkan seorang murid lelaki dibuli secara fizikal dengan ditumbuk dan ditendang oleh beberapa murid lain sehingga mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan.
Video yang berdurasi antara 11 hingga 30 saat itu dikatakan berlaku di sebuah asrama sekolah pada 9 Disember lalu antara pukul 1 pagi hingga 2 pagi.
Hasil siasatan pihak polis mendedahkan, kejadian itu berlaku di asrama MRSM Kuala Kangsar, Perak dengan kesemua 10 murid yang terlibat kemudiannya telah dikenakan tindakan ditamatkan pengajian oleh Jawatankuasa Disiplin Maktab MRSM.
Pada 18 Disember lalu pula, Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri mendedahkan, pihaknya telah menerima tiga laporan membabitkan kes buli di sekolah dalam tempoh empat melibatkan sekolah di daerah Rompin, Maran dan juga sebuah sekolah berasrama di Lipis.
Jelas beliau, kesemua murid terlibat melakukan kesalahan tersebut telah dikenal pasti dengan bantuan pihak sekolah dan kes itu sedang disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Bagi seorang guru yang juga warden sebuah sekolah berasrama penuh di Seremban, Negeri Sembilan, Mohd. Bukhari Adnan, 42, kes buli di sekolah sememangnya berlaku dan menjadi satu perkara yang paling dititikberatkan oleh pihak pengurusan sekolah.
Dia yang sudah bertugas selama 19 tahun sebagai guru termasuk lima tahun sebagai warden asrama di beberapa sekolah berkata, kes buli khususnya di asrama biasanya dilakukan oleh murid senior terhadap murid di tingkatan lebih rendah atau yang baru berpindah ke asrama.

“Bagi sekolah yang mempunyai asrama, minggu orientasi biasanya dilakukan sebagai proses membiasakan murid-murid baharu dengan kehidupan di asrama.
“Bagaimanapun, murid senior tidak dibenarkan melakukannya tanpa pengetahuan guru atau pihak sekolah, apatah lagi jika ia dilakukan di luar tempoh minggu orientasi kerana ia dibimbangi akan menjadi kes buli yang berisiko mendatangkan kecederaan.
“Namun, terdapat beberapa isu kumpulan murid yang agak nakal akan cuba menakut-nakutkan murid baharu termasuk murid yang baru memasuki asrama dengan melakukan perkara-perkara dilarang seperti menindas dan membuli menggunakan kekerasan,” katanya.
Tambahnya, kejadian buli di sekolah dan asrama biasanya sukar untuk dikesan kerana mangsa diugut agar tidak mendedahkan kejadian yang berlaku kepada mana-mana pihak khususnya guru dan warden asrama sekiranya tidak mahu dicederakan.
Jelasnya lagi, pada kebiasaannya, pihak sekolah dapat mengesan kejadian buli yang berlaku daripada murid-murid lain yang merupakan rakan mangsa, selain daripada guru kaunseling.
“Ini kerana, mangsa buli biasanya sering kelihatan murung dan guru kaunseling merupakan antara individu terawal yang dapat mengesannya kerana mangsa biasanya akan bercerita masalah dihadapinya ketika sesi kaunseling di sekolah.
“Jika kes buli dikesan berlaku di sekolah atau asrama, siasatan dalaman oleh Lembaga Disiplin Sekolah akan dilakukan dan sekiranya benar berlaku, murid yang terlibat akan dikenakan tindakan tegas termasuk dibuang sekolah,” ujarnya.
Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai isu ini, Penganalisis Jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, tidak dinafikan isu buli di sekolah merupakan perkara yang sering berlaku daripada dahulu sehingga kini.
Malah katanya, telah banyak kaedah yang dilaksanakan oleh pelbagai pihak dalam menangani isu berkenaan, namun ia masih belum memadai untuk mengatasinya.
Justeru kata beliau, satu kaedah baharu yang dapat melandaikan graf kes buli di sekolah perlu dilakukan agar ia tidak lagi menjadi isu yang diwarisi.
“Pada pandangan saya, kita perlu melakukan kaedah pengalihan pemikiran terhadap mereka yang terlibat dengan aktiviti buli ini kepada satu perkara yang boleh mengeluarkan mereka daripada jenayah tersebut.

“Sebagai contohnya, sekiranya murid yang melakukan jenayah buli ini berasakan mereka memiliki kekuatan yang mungkin ditakuti murid lain atau berfikiran mereka mempunyai seni mempertahankan diri sehingga mampu mencederakan orang lain, maka sesuatu perlu dilakukan.
“Jangan menghukum, sebaliknya mereka ini perlu didekati dan diajak untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang lebih sihat.
“Ia seperti bersukan dan sebagainya, selain memberi peluang kepada mereka untuk menonjolkan diri sebagai murid yang boleh menjadi contoh kepada yang lain.
“Dengan cara itu, ia mampu menjana pemikiran positif dalam kalangan mereka, sekali gus mengubah sikap asal mereka yang menggunakan kekerasan untuk membuli kepada mengunakannya dalam aktiviti sukan untuk menjadi atlet yang berjaya,” ujarnya.
Selain itu katanya, pandangan dan pemikiran bahawa gologan remaja sememangnya nakal dan ia sesuatu perkara yang biasa juga haruslah dikikis.
Ini kerana jelasnya, ia boleh menyebabkan golongan tersebut terus melakukan perbuatan itu tanpa ada pihak yang menegur kesalahan yang dilakukan.














