fbpx

Taylor’s sumbang 158 peranti pembelajaran untuk komuniti B40

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pro Naib Canselor (Penyelidikan dan Perusahaan) Taylor’s University, Profesor Madya Dr. Anthony Ho Siong Hock (kiri) bersama Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah ketika majlis pelancaran Makmal Komputer DuckiePi di Pusat Komersial NZX, baru-baru ini. - FOTO Taylor’s University

Petaling Jaya: Taylor’s University menyumbangkan 158 peranti pembelajaran DuckiePi kepada keluarga kurang bernasib baik, sekolah dan pusat-pusat komuniti di seluruh negara yang memerlukan sehingga kini.

Ia adalah sebahagian daripada usaha berterusan universiti untuk menjadi jejambat kepada jurang digital dan pendidikan dalam kalangan komuniti B40 yang telah terjejas kerana kekurangan peralatan, mengakibatkan anak-anak tidak dapat mengikuti kelas secara maya atau kesulitan mengakses sumber-sumber pembelajaran.

Dibina dengan kos RM500 sebuah menggunakan dana yang berjaya dikumpul lebih daripada RM70,000, institusi pendidikan berkenaan menyasarkan untuk menyumbang kira-kira 46 peranti tambahan pada masa akan datang.

DuckiePi dibangunkan oleh para pelajar daripada projek Taylor’s Me.reka Makerspace (TMM), alumni Taylor’s, Bernard Yap Kah Huan, Ong Wea Hung, Ang Jia Hui (Jasper) dan Norman Heng Chon Sheng, daripada fakulti kejuruteraan mekanikal, IT dan sains komputer.

Peranti pembelajaran DuckiePi yang dihasilkan Taylor’s University. – FOTO Taylor’s University

Dijana oleh Raspberry Pi, DuckiePi adalah sebuah komputer tunggal bersaiz kad kredit dan memiliki aplikasi seperti Zoom dan Google Suites, dengan fungsi mikrofon dan kamera.

Pro Naib Canselor (Penyelidikan dan Perusahaan) Taylor’s University, Profesor Madya Dr. Anthony Ho Siong Hock, berkata projek ini lahir daripada Taylor’sphere yang merupakan ekosistem pembelajaran dan komuniti yang memupuk pertumbuhan intelektual, mental dan emosi pelajar untuk menjadi pelajar yang kuat sahsiahnya dengan kemahiran yang betul dan meletakkan diri mereka untuk mencapai kejayaan dalam dunia hari ini.

“Ketika pandemik terus mengganggu pembelajaran lima juta pelajar Malaysia, para pelajar kami dari Makers Club, Robotics Club, dan Agents of Tech Taylor’s berganding tenaga untuk membangunkan Taylor’s DuckiePi.

“Dibimbing oleh Taylor’s Me.reka Makerspace, sebuah hab kerjasama pembelajaran yang menjadi sebahagian daripada ekosistem Taylor’sphere, para pelajar kami mempraktikkan apa yang dipelajari dalam pengajian ijazah mereka untuk membawa impak ke atas komuniti di sekitar mereka,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Makmal Komputer DuckiePi yang dilengkapi dengan peranti pembelajaran DuckiePi di Pusat Komersial NZX, baru-baru ini.

Hadir sama pada majlis berkenaan adalah Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah.

Makmal Komputer DuckiePi yang terletak di ChilHub dikendalikan oleh Persatuan Integrasi Usahawan Selangor akan diguna pakai oleh Me.reka Belia untuk mengadakan program celik digital bagi memperkasakan remaja dan bakal usahawan dari kalangan B40 sekitar PPR Lembah Subang 1 dan 2 dengan kemahiran digital dan web.

Makmal Komputer DuckiePi digunakan untuk pelbagai program literasi digital untuk meningkatkan kemahiran usahawan B40 yang sedang berkembang. – FOTO Taylor’s University

Peniaga makanan, Anis Kamalia Kamarulzaman mula menghadiri kursus celik digital yang disediakan di Makmal Komputer DuckiePi setelah menyedari pentingnya meningkatkan kemahiran diri.

Beliau mendapati modul-modul sangat berguna terutama berkaitan perniagaan dalam talian, membangunkan kandungan dan kata kunci Google.

“Makmal Komputer DuckiePi sangat membantu komuniti di sini kerana kebanyakan kami hanya ada telefon.

“Oleh itu, dengan adanya makmal ini, ia menjadi sumber berguna untuk menyiapkan tugasan sekolah atau meneroka perniagaan kita sendiri,” katanya.

Selain Makmal Komputer DuckiePi, peranti-peranti pembelajaran DuckiePi turut disumbangkan kepada keluarga-keluarga di PPR Lembah Subang, anak-anak sekolah dan guru-guru di sekolah pedalaman iaitu SK Long Sukang di Lawas, Sarawak, serta keluarga-keluarga di seluruh Malaysia menerusi kerjasama dengan pelbagai NGO.

Taylor’s Me.reka Makerspace juga menggalakkan rakyat Malaysia untuk memainkan peranan dalam menjadikan akses kepada pendidikan ini terbuka kepada semua.

DuckiePi pada masa ini dijual pada harga runcit RM500 sebuah dengan keuntungannya digunakan bagi membina lebih banyak peranti untuk komuniti.

Rakyat Malaysia boleh memberi sumbangan bagi menyokong pembuatan peranti-peranti ini menerusi https://form.jotform.com/210053840948455.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI