fbpx
LEBIH 4.5 juta orang menandatangani petisyen supaya hukuman penjara terhadap Aguilera-Mederos dikurangkan. - KDVR

Orang ramai berang hukuman penjara 110 tahun terhadap pemandu treler AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES, California – Lebih 4.5 juta orang termasuk Kim Kardashian meminta hukuman penjara 110 tahun terhadap seorang pemandu treler di Amerika Syarikat berhubung satu kemalangan ngeri pada 2019 dikurangkan. 

Treler dipandu oleh imigran Cuba, Rogel Aguilera-Mederos hilang kawalan brek dan merempuh sejumlah kenderaan lain, menyebabkan empat orang terbunuh.

Dalam kejadian pada April 2019 itu, Aguilera-Mederos sedang mengangkut balak di negeri bergunung-ganang, Colorado apabila breknya tidak berfungsi ketika menuruni jalan berbukit.

Kemalangan itu mengakibatkan 28 kereta bertindan dan turut menyebabkan enam mangsa cedera.

Aguilera-Mederos didapati bersalah oleh panel juri berhubung 27 pertuduhan termasuk melakukan pembunuhan dengan menggunakan kenderaan. Pada minggu lalu pula, seorang hakim menjatuhi hukuman penjara 110 tahun yang menurutnya, adalah hukuman minimum mandatori di bawah undang-undang Colorado.

“Ingin saya katakan, sekiranya saya dibenarkan untuk menggunakan budi bicara, saya tidak akan menjatuhi hukuman ini,” kata hakim berkenaan seperti laporan akhbar Denver Post.

Bagaimanapun, tempoh yang panjang itu mencetuskan kemarahan orang ramai dengan 4.6 juta orang menandatangani petisyen secara online meminta pengampunan dan hukuman penjara terhadap Aguilera-Mederos dikurangkan.

Kardashian yang menjalani latihan untuk menjadi seorang peguam telah menghubungi Gabenor Colorado, Jared Polis untuk meminta beliau campur tangan.

“Hukuman minimum mandatori merampas hak budi bicara hakim dan perlu ditamatkan,” katanya dalam satu kenyataan di Twitter.

Sementara itu,  polis Colorado menyatakan pada Selasa lalu bahawa pihaknya telah menerima permohonan pengampunan dan masih menyemaknya. – AFP 

 

POPULAR