fbpx

Kejutan, ‘drama sangat’, lumrah dunia hiburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FIZI ALI dan Shakila Khoriri kini sudah bercerai.

MEREKA bukan pasangan popular, namun sebagai selebriti yang aktif berlakon dan si suami penyampai di sebuah stesen radio popular, justeru perceraian Shakila Koriri dan Fizi Ali menjadi bualan ramai.

Sejak berita perceraian mereka mengejutkan ramai, beberapa teman zaman persekolahan yang masih berhubung rapat menerusi WhatsApp tiba-tiba muncul menyapa ke peti mesej peribadi.

Masing-masing cuba merisik punca. Mungkinkah sudah lama retak menanti belah, adakah wujud orang ketiga?

Barangkali pada hemat mereka, sebagai orang media, penulis pasti ada sumber daripada pelbagai pihak. Malangnya, kepastian yang cuba ditebak tiada berpenghujung.

Alasannya, penulis sendiri tidak tahu hujung pangkal, apakah masalah yang menghempap batu jemala dua jiwa itu sehingga runtuhnya mahligai perkahwinan yang baru berusia tiga tahun.

Orang kata, lima tahun pertama perkahwinan adalah tempoh paling menduga, paling banyak ranjau. Sudah namanya anak wayang, dunia hiburan yang menjadi periuk nasi mereka dilihat sebagai dunia drama.

Setiap apa yang berlaku dalam kehidupan pekerjaan dan peribadi, sebagaimana yang ditayangkan kepada umum, realiti mahupun ‘tipu-tipu’ demi tuntutan ‘client’ adakalanya dilihat sama sahaja oleh peminat.

Sama juga Fizi dan Shakila, macam-macam gaya kehidupan bahagia mereka, termasuklah amalan pemakanan sejenis produk pengikat keintiman hubungan suami isteri turut dipamerkan dalam Instagram.

Jadi apabila mengumumkan sudah tidak lagi bersama, baik Fizi mahupun Shakila, mereka tidak boleh menutup mulut orang yang selama ini menyumbang Like dan engagement ke dalam Instagram mereka untuk bertanya dan menebak macam-macam punca sehingga berlaku perpisahan.

Masing-masing, baik artis atau netizen, tak perlulah mengata dulang paku serpih. Setiap perkongsian, kecuali tentang kematian, selebihnya membuka ruang kecaman yang memedihkan.

Ingat, walaupun ada pepatah berbunyi, jangan menilai buku melalui kulitnya, ironinya itulah format penilaian dunia hari ini.

Terbuka untuk berkongsi, terbuka juga dengan kecaman. Nak jadi netizen, jadilah netizen yang hebat, nak jadi artis jadilah artis yang ada kelas.

Jangan sekadar lantang mengata perihal orang awam tetapi diri sendiri tidak boleh dicuit.

Seperti judul sebuah acara yang baru melabuhkan tirai Sabtu lalu, Anugerah Drama Sangat 2021 untuk mengiktiraf karyawan seni pembikinan dan penyiaran drama tanah air. Dunia artis ialah dunia drama, jadi lihat, dengar dan hadam.

Masih tak puas dengan kejutan artis bercerai dan kahwin senyap-senyap, malam Ahad lalu juga peminat baru tahu penyanyi Ariff Bahran rupa-rupanya sudah tiga bulan berkahwin dengan wanita yang tiba-tiba muncul pada penghujung dendangan lagu Bicara Rahsia bersama Sarah Suhairi.

Patutlah siap cium dahi, rupa-rupanya isteri, drama sangat!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI