fbpx
KEJADIAN tanah runtuh yang dikongsikan Fizo menerusi Instagramnya semalam selepas dia terkandas di Lebuhraya Karak-KL.

Fizo Omar lawan arus redah banjir di Lebuh Raya Karak-KL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Terperangkap dalam kejadian tanah runtuh dan banjir yang berlaku di Lebuh Raya Karak-KL menghala ke ibu kota tengah malam semalam mencemaskan pelakon dan pengacara Fizo Omar.

Dia yang berada di tempat kejadian sekitar pukul 11 malam selepas pulang dari Kuantan, Pahang bagi menghadiri acara di sebuah spa milik rakannya bagaimanapun selamat tiba di Kuala Lumpur sekitar 3 pagi tadi.

Cerita Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 36, dia baru sahaja tiba di kawasan tersebut selepas tanah di situ runtuh akibat hujan lebat.

“Lama juga saya terkandas di situ semalam. Sedang elok saya sampai, tanah baru sahaja runtuh di situ. Nak pergi ke depan, tak boleh. Nak patah semula, jalan di bawah dah dinaiki air. Jadi kami tersekat di tengah-tengah.

“Beratus kenderaan terperangkap bersama kami termasuk lori, bas dan kereta,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Tambah Fizo, dia dan rakannya mempertaruhkan nyawa melawan arus menuju pulang ke Kuala Lumpur melalui jalan sebelah dengan cara membuka besi penghadang lebuhraya.

“Kami ‘gamble’ sajalah buka besi penghadang dan lawan arus. Mujur tak banyak kereta di laluan tersebut.

“Cuma sepanjang perjalanan, masih ada tanah runtuh berlaku. Dari situ saya boleh nampak. Ramai yang berpatah balik, tapi ada juga masih tersekat di situ.

“Sepanjang perjalanan, saya nampak ramai turun dari kereta dan cari tempat selamat. Dalam keadaan hujan, dengan anak-anak kecil lagi. Memang kasihan,” katanya.

Lebih kurang 2 pagi, barulah Fizo selamat tiba di sebuah stesen minyak di lebuhraya tersebut sebelum kemudian meneruskan perjalanan pulang ke rumah dan tiba kira-kira 3 pagi.

“Pagi ini saya tengok video, terkejut sebab ada sesetengah jalan di Lebuhraya Karak dah jadi macam sungai. Di situlah tempat saya tersangkut semalam.

“Tertanya-tanya juga apa nasib mereka semalam. Pandangan saya, pihak LPT sepatutnya ambil tindakan segera dengan menutu[ terus tol masuk ke lebuhraya apabila berlaku tanah runtuh dan banjir.

“Sebab sehingga pukul 2 pagi, kereta masih lagi menghala ke kawasan terkandas. Risau dikhuatiri ramai yang ‘stuck’ di situ dan tiba-tiba tanah runtuh menghempap mereka di situ,” katanya lagi yang mendoakan mangsa terkandas sentiasa dilindungi dan dibantu secepat mungkin. – K! ONLINE

POPULAR