fbpx
Gambar hiasan.

Kenaikan harga barangan, perlu kerjasama semua pihak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Usaha memerangi pengaruh orang tengah yang menyumbang kepada kenaikan harga barangan keperluan harian memerlukan kerjasama semua pihak termasuk dalam kalangan peladang, penternak, petani dan nelayan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, pihaknya telah melakukan pelbagai program bagi memutuskan rantaian kebergantungan terhadap orang tengah seperti bantuan dana.

“Kita telah menjalankan pelbagai program bagi memastikan peladang, penternak, petani dan nelayan tidak bergantung kepada orang tengah antaranya bantuan dana. Kita memberi ruang dan dana kepada mereka untuk menggunakan dana tersebut bagi mengelakkan mereka terlalu bergantung kepada orang tengah.

“Orang tengah ini sudah lama wujud dan berada di semua sektor, mereka mempengaruhi produk agro makanan seperti racun, makanan ternakan dan baja yang menyebabkan harga pengeluaran meningkat naik,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Lembaga Pertubuhan Peladang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) juga mengambil kira perspektif penternak, peladang, petani dan nelayan bagi memastikan kebajikan mereka tidak terabai.

“Isu kenaikan harga barangan ini tidak diambil menerusi perspektif pengguna atau pembeli sahaja, kita juga mengambil kira perspektif golongan yang terlibat seperti penternak, peladang dan petani bagi memastikan kebajikan mereka terjaga.

“Setakat ini, kerajaan menerusi kementerian terlibat telah membina lebih 100 pusat pengumpulan hasil pertanian yang dibina di seluruh negara seperti pasar tani dan pasar tamu,” jelasnya.

Katanya, usaha berterusan tersebut telah diwujudkan menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

“Sehubungan itu, semua pihak harus berkerjasama dan bertanggungjawab dalam memutuskan kebergantungan terhadap orang tengah yang turut mempengaruhi rantaian pemasaran agro makanan di negara ini,” ujarnya. – K! ONLINE.

POPULAR