fbpx

‘Tangan’ manusia ancam alam sekitar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BENCANA boleh terjadi atas dua faktor iaitu semula jadi dan perbuatan manusia. – GAMBAR HIASAN

Oleh PROF. MADYA DR. HARYATI SHAFI

SEJAK kebelakangan ini masyarakat Malaysia sering kali dilaporkan dengan kejadian bencana alam seperti banjir kilat dan tanah runtuh.

Kekerapan bencana ini telah mengundang rasa trauma dalam kalangan penduduk kerana terpaksa melalui keperitan, kepenatan dan ketakutan yang melampau.

Bencana alam merupakan fenomena yang biasa berlaku disebabkan oleh faktor semula jadi dan manusia.

Selain itu, bencana alam boleh berlaku bila-bila masa dan secara tiba-tiba tanpa sebarang tanda amaran.

Bencana alam berlaku dalam skala kecil hinggalah skala besar dan kesannya akan membawa kemudaratan kepada manusia serta persekitaran.

Kesan kepada manusia seperti kehilangan tempat tinggal, kemusnahan harta benda, haiwan ternakan, tanaman hinggalah kepada yang lebih serius seperti kecederaan dan kematian.

Sementara itu, kesan kepada persekitaran pula akan merosakkan alam semula jadi serta boleh membawa kepada kesan-kesan alam sekitar yang lain seperti hakisan, pemendapan di sungai, pencemaran udara dan sebagainya.

Kejadian bencana alam boleh diklasifikasi kepada dua faktor iaitu faktor semula jadi dan manusia.

Faktor semula jadi adalah disebabkan berlakunya perubahan seperti mampatan, rekahan, regangan, tekanan, kecairan pada struktur dalaman dan permukaan bumi, gas yang ingin dilepaskan dari bumi, perubahan monsun serta kelajuan angin.

Sebagai contoh, bencana alam yang biasa berlaku dan direkodkan ialah gempa bumi, gunung berapi, tiupan angin kencang, ribut salji, tsunami, ribut petir, banjir, tanah runtuh dan sebagainya.

Bencana alam berpunca faktor manusia pula seperti sikap tidak bertanggungjawab, kegagalan mengurus dan tiada kesedaran alam sekitar hingga menyebabkan aktiviti yang lebih kepada ‘keuntungan diri’ selain mengabaikan tanggungjawab serta mengetepikan kelestarian alam sekitar itu sendiri.

Di Malaysia, kejadian bencana alam seperti banjir kilat dan tanah runtuh kerap kali berlaku dan telah mengakibatkan kerugian harta benda dan kehilangan nyawa.

Kerap kali banjir dan tanah runtuh berlaku disebabkan oleh faktor manusia yang gagal mengurus alam sekitar dengan baik.

Kejadian banjir kilat misalnya yang sejak kebelakangan ini sering berlaku di kawasan bandar dan perumahan sekitar bandar seperti di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Batu Pahat dan Melaka telah mengakibatkan kerugian harta benda.

Ketiadaan sistem saliran yang baik, kepadatan pembangunan perumahan dan bangunan, merupakan landskap bandar yang kian terserlah kini. Namun pada hakikatnya mengundang bencana kepada penduduk.

Kejadian tanah runtuh kerap dilaporkan berlaku sepanjang laluan ke Cameron Highlands, Pahang juga menunjukkan bahawa alam sekitar telah mudah terancam akibat daripada tangan-tangan manusia.

Faktor tanah tinggi yang ditarah, hujan berterusan dengan intensiti yang tinggi telah menyumbang kepada berlakunya tanah runtuh.

KEBELAKANGAN ini kerap dilaporkan berlaku kejadian banjir kilat di bandar-bandar di negara ini.–GAMBAR HIASAN

Keadaan ini berlaku apabila struktur tanah telah longgar dan luruan air dari kawasan tinggi telah menyebabkan tanah mudah menggelongsor dan akhirnya jatuh ke bawah.

Kejadian ini boleh membawa bencana kepada manusia sekiranya terdapat pengguna yang melalui kawasan tersebut.

Keadaan inilah yang berkemungkinan berlaku di Cameron Highlands yang telah mengakibatkan kematian pengguna jalan raya apabila terdapat tiga buah kenderaan dilaporkan tertimbus oleh runtuhan tanah tersebut.

Dalam pada itu, bencana alam seperti letusan Gunung Berapi Semeru di Lumajang, Jawa Timur, Indonesia yang baru-baru ini turut dilaporkan mencatatkan kematian lebih 45 orang, manakala lebih 4,000 terpaksa berpindah ke tempat selamat.

Akibat letusan gunung yang kuat telah menyebabkan kawasan persekitaran menjadi gelap seperti malam akibat ketebalan debu yang dimuntahkan gunung tersebut.

Debu berterbangan di udara itu telah menutup cahaya matahari sehingga dikatakan seperti malam.

Bencana alam seperti yang dibincangkan ini merupakan bencana yang berlaku disebabkan oleh faktor semula jadi dan manusia.
Kesan kepada manusia seperti kecederaan dan kematian serta persekitaran yang musnah jelas memperlihatkan bahawa bencana tidak boleh dipandang ringan.

Kesedaran masyarakat terhadap bencana alam sekitar wajar ditingkatkan.

Bencana alam ada kalanya boleh diramal dan dijangkakan berlaku seperti letusan gunung berapi dan banjir.

Oleh itu, pihak berkuasa wajar mendedahkan masyarakat setempat khususnya dan masyarakat umum amnya akan bahaya bencana alam serta meningkatkan langkah berjaga-jaga.

Pihak berkuasa harus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan kawasan berisiko contohnya seperti kawasan lereng bukit diletakkan alat pengesan pergerakan tanah.

Dengan kaedah ini, sebarang pergerakan tanah dapat dipantau dan tanda amaran serta penutupan jalan boleh segera dilakukan.

Masyarakat bukan sahaja perlu didedahkan tentang bahaya kemungkinan berlakunya bencana alam di sesuatu kawasan, bahkan perlu dilengkapkan dengan pelbagai informasi berkenaan bencana alam yang bakal berlaku seperti banjir, tanah runtuh, letusan gunung berapi, tsunami, ribut petir dan sebagainya.

Walaupun adakalanya ramalan tidak tepat, tetapi sekurang-kurangnya amaran awal telah diberi justeru langkah berjaga-jaga perlu ditingkatkan.

Pihak berkuasa harus segera mengambil langkah dengan memindahkan penduduk berisiko ke tempat selamat atau terus menutup mana-mana jalan yang berisiko dan berbahaya kepada pengguna.

Penduduk yang berada di kawasan berisiko pula hendaklah sentiasa cakna dengan sebarang maklumat daripada pihak kerajaan supaya mengambil langkah dengan segera berhubung aspek keselamatan diri, keluarga dan harta benda.
————————————————————————————————————————————————————————————————-
PROF. MADYA DR. HARYATI SHAFI ialah Pensyarah Pengurusan Alam Sekitar, Penyelidik Utama, Pembinaan Infrastruktur Mampan dan Pengurusan Alam Sekitar (CSIEM) Jabatan Pengurusan Pembinaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI