fbpx

Rindu paling sakit Syamel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYAMEL

KESAKITAN paling dalam dirasai manusia adalah ketika berdepan fasa kehilangan. Hilang kerja, rakan sekeliling mahupun anggota keluarga sendiri, antara kehilangan paling perit untuk dihadam.

Tak semua orang mampu menelan pahitnya realiti apabila terpaksa menerima hakikat kehilangan insan tersayang, apatah lagi selama ini, merekalah yang menjadi penyokong kuat.

Situasi tersebut yang sedang dan masih dialami penyanyi Syamel apabila kehilangan ibu tercinta, Wan Faaizah Karim, 55, yang menghembuskan nafas terakhir pada 23 Ogos lalu.

Allayarham meninggal dunia pada pukul 10.09 malam selepas sebulan bertarung nyawa akibat masalah kekurangan oksigen dalam badan.

Kerinduan menggunung terhadap ibu tercinta diluahkan penyanyi berusia 28 tahun itu menerusi peluncuran sebuah lagu baharu berjudul Bila Kau Tiada.

BAGI mengubat kerinduan yang menebal, Syamel menghadiah bingkisan istimewa buat arwah ibu tercinta selepas pemergian wanita itu tiga bulan lalu.

Lagu terbitan Rocketfuel Entertainment tersebut merupakan nukilan sepenuhnya Syamel sendiri.

“Terima kasih buat semua yang mendoakan Allahyarham umi (panggilan ibu) dan ucapan takziah yang diberikan. Saya, isteri dan seluruh ahli keluarga amat menghargainya.

“Lagu ini saya ciptakan khas buat ibu tercinta yang telah pergi buat selamanya,” kata Syamel.

Tambah suami kepada penyanyi terkenal, Ernie Zakri itu, dia mencipta sebuah lagu untuk arwah ibunya sebagai tanda memori tentang sosok wanita istimewa yang telah melahirkan dan membesarkannya dengan penuh kasih sayang selama ini.

“Lagu ini memang saya sengaja cipta bagi mengingati umi buat selama-lamanya. Tapi secara umum, karya ini boleh juga ditujukan buat sesiapa saja seperti isteri, suami, ibu bapa mahupun kekasih.

“Pendek kata, lagu ini boleh digunakan dalam pelbagai situasi mengenai seseorang yang reda dan pasrah dengan ketentuan Ilahi.

“Pada masa sama, lagu ini jadi luahan rasa rindu yang melampau terhadap orang tersayang yang telah pergi buat selamanya,” terang Syamel.

SYAMEL berharap lagu Bila Kau Tiada dapat menjadi peneman buat semua individu yang berdepan kehilangan orang tersayang sama sepertinya.

Emosi

Kehilangan dilalui Syamel sukar digambarkan dengan kata-kata kerana ibunya merupakan individu yang paling kuat memberi sokongan ketika awal pembabitan dalam dunia seni.

Kini semuanya tinggal kenangan. Hanya doa menjadi penghubung antara dua jiwa yang terpisah.

Disebabkan itu, Syamel mengakui berasa agak berdebar ketika memasuki studio rakaman milik Sharon Paul kerana perlu mempersiapkan mental dan emosi untuk lagu tersebut.

“Terpaksa saya ulang beberapa kali proses rakaman sehingga selesai sepenuhnya. Tetapi Sharon mengerti dengan apa yang cuba saya sampaikan agar ada jiwa dalam nyanyian,” jelasnya.

Video muzik lagu Bila Kau Tiada dilancarkan serentak dengan single tersebut pada 26 November lalu.

Jalan cerita video muzik tersebut menyingkap perjalanan hidup Syamel atau nama lengkapnya Syamel Aqmal Mohd. Fodzly dari kecil sehinggalah bergelar penyanyi selain memaparkan warna emosi kerinduan yang mendalam.

PEMILIK vokal emas ini tidak sabar menantikan kehadiran si kecil penyeri rumah tangganya bersama Ernie sekitar awal tahun depan.

Hilang berganti

Dalam peritnya merasai kehilangan, penyanyi yang terkenal menerusi lagu Hidup Dalam Mati itu mensyukuri nikmat yang diberikan Tuhan apabila dikurniakan rezeki lain.

Ibarat kata pepatah, patah tumbuh hilang berganti, pemergian ibu tercinta digantikan Tuhan dengan kehadiran si kecil yang akan menyerikan kehidupan berumahtangganya bersama Ernie.

Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 26 Mac lalu pada majlis akad nikah yang diadakan di Masjid Puncak Alam, Shah Alam, Selangor itu bakal bergelar ibu dan bapa tidak lama lagi.

Menghitung hari menantikan kelahiran cahaya mata sulung, Syamel cukup teruja kerana bakal memegang status sebagai seorang bapa.

“Alhamdulillah, kami suami isteri sedang menanti kelahiran cahaya mata pertama dalam beberapa bulan lagi.

“Tak sabar rasanya untuk bergelar ibu dan bapa.

“Saya bersyukur dengan kehadiran Ernie sebagai suri hidup yang menyerikan kedukaan saya ditambah pula dengan kehadiran permata hati kami yang bakal tiba nanti, insya-Allah,” getusnya.

TIDAK lari daripada forte nyanyiannya, Syamel mengekalkan genre pop balada untuk lagu Bila Kau Tiada.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI