fbpx
FAKHRUL ZAMAN menunjukkan sebilangan koleksi lukisan yang terdapat di HTAR.

Rumah pusaka jadi muzium seni

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEORANG lelaki, Fakhrul Zaman Mohamad Sambas, 45, menjadikan rumah pusaka peninggalan orang tuanya sebagai muzium seni yang mengabadikan sebahagian barangan yang menjadi memori indah semasa kecil seperti mesin getah, mesin jahit mahupun permainan tradisional masa lampau.

Selain itu, rumah pusaka itu yang kini dikenali Hujung Tanah Art Regency yang terletak di Pontian, Johor turut mempamerkan pelbagai koleksi lukisan, hasil seni tangan, arca dan puisi tanpa ada batas darjatnya.

Juga diwujudkan galeri khas sebagai tanda kenangan jerih perih kedua-dua orang tuanya menyara kehidupan keluarga dengan bekerja sebagai penoreh getah dengan menempatkan mesin getah, pisau getah, basikal serta maklumat berkaitan komoditi tersebut.
————————————————————————————————————————————————————————————————————-
MENELUSURI galeri seni Hujung Tanah Art Residency (HTAR) di Pontian, Johor bagai mengimbau nostalgia lalu kala tiada peranti elektronik, bekalan elektrik mahupun air yang mengalir dari batang besi. Semua itu memberikan kenangan yang tidak dapat dilupakan apatah lagi sewaktu melihat mesin getah, mesin jahit dijana dengan kaki mahupun permainan tradisional yang pernah menjadi teman masa lapang.

Semua pameran ini bersama elemen seni di HTAR diilhamkan Fakhrul Zaman Mohamad Sambas, 45, dengan menggunakan rumah pusaka berusia 60 tahun bagi ‘menggantung’ semua memori indah itu.

Rumah limas Johor peninggalan Allahyarham Mohammad Sambas Nurowji dan Jaemah Kamran itu masih berdiri kukuh walaupun banyak rumah seusianya telah beralih ke rumah batu.

Dengan slogan Merakyatkan Seni menjadikan HTAR ibarat sebuah muzium seni yang menyimpan pelbagai koleksi lukisan, hasil seni tangan, arca dan puisi tanpa ada batas darjatnya.

Pelawat pasti akan terpegun melihat hasil seni serta kraf tangan yang diperbuat daripada rotan.

RUMAH Limas ini merupakan kediaman pusaka ibu bapa Fakhrul Zaman yang dimanfaatkan oleh lelaki itu untuk memeriahkan aktiviti seni di pedalaman.

Katanya, jika kebanyakan ruang pameran berkaitan seni terletak di bandar, tidak salah sekiranya di luar bandar juga diwujudkan peluang bagi masyarakat setempat berkarya dengan idea dan pandangan mereka.

Menurutnya, bermula pada tahun 2012, HTAR terus menjadi tumpuan peminat-peminat seni meliputi pelbagai elemen seni dan kraf termasuk yang dihasilkan penduduk kampung.

“HTAR ini berpegang kepada ungkapan ‘Place where the art lovers meet’ yang membuka seluas-luasnya buat penggiat seni untuk ‘melemparkan’ karya masing-masing dalam pelbagai bentuk daripada kanvas hinggalah barangan terbuang.

“HTAR kerap juga mengadakan pertandingan lukisan bagi memberikan peluang buat para pelukis mencurahkan bakat mereka dengan ada antara mereka yang tidak menyedari keupayaan masing-masing selama ini,” katanya ketika ditemui Panorama di HTAR di Kampung Parit Haji Elias, Pontian.

Tambah Fakhrul Zaman, setakat ini terdapat kira-kira 2,000 hingga 3,000 koleksi kegiatan seni di rumah pusaka peninggalan arwah ibu bapanya itu.

“Banyak kenangan di rumah warisan ini dari kecil sehingga zaman persekolahan sampai terdetik di minda saya untuk memeliharanya dengan menjadikannya sebagai kamar kreatif bagi penggiat seni.

“Saya anak bongsu daripada empat beradik, yang lain perempuan, tentunya menjadi tanggungjawab saya menjaga rumah peninggalan ini supaya terus berdiri teguh sebagaimana dahulu,” ujarnya yang bertugas sebagai kurator di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai.

SEBUAH ruang di HTAR dipenuhi dengan pelbagai hasil kraf daripada rotan.

Sebagai tanda kenangan jerih perih kedua-dua orang tuanya menyara kehidupan keluarga dengan bekerja sebagai penoreh getah juga, maka diwujudkan galeri khas dengan menempatkan mesin getah, pisau getah, basikal serta maklumat berkaitan komoditi tersebut.

Katanya, pada awal pengenalan HTAR, masyarakat setempat ‘segan’ untuk menyertai aktiviti seni seperti melukis serta beberapa aktiviti lain, namun akhirnya timbul minat dalam kalangan mereka untuk bersama pada aktiviti seterusnya.

Menurut Fakhrul Zaman, di atas pengelibatan mereka, maka terhasillah kraf seni seperti pembuatan bakul rotan yang telah menarik minat Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofia Almarhum Sultan Idris Shah sewaktu melawat ke HTAR pada tahun 2018 dan 2019.

“HTAR menjunjung kasih di atas lawatan tersebut termasuk Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang telah menyuntik semangat bagi saya terus meningkatkan lagi aktiviti sebegini pada masa depan,” jelasnya.

Jelasnya, pada tahun lalu, di HTAR telah diadakan program ‘Pengalaman Seni Di Pedalaman’ anjuran Balai Seni Lukis Negara dengan penghasilan papan tanda, mural, khat, peti surat, arca awam dan sebagainya.

Seterusnya dia memberitahu, HTAR juga memberikan peluang kepada kegiatan seni yang lain termasuk penyair dan pemuisi melalui penganjuran bengkel penulisan melibatkan pelajar dan golongan belia.

FAKHRUL ZAMAN menunjukkan mesin getah untuk membuat getah keping dan basikal yang digunakan arwah bapanya untuk menoreh.

“ Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Perbadanan Usahawan Johor Berhad (PUJB) yang telah membuat video HTAR bagi tujuan promosi khususnya berkaitan dengan sektor pelacongan dan kegiatan seni,” katanya.

Fakhrul Zaman juga berharap, selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih banyak aktitivi seni dapat diadakan di HTAR bagi memberikan peluang mereka kembali berkarya sepertimana sebelum ini.

Dengan pengiktifaran oleh Tourism Malaysia Negeri Johor (Tourism Johor) sebagai salah satu lokasi pelancongan di daerah Pontian, HTAR mampu memberikan kelainan kepada pengunjung yang meminati seni dan budaya masyarakat setempat.

ANTARA lukisan menarik bertema pekebun nanas yang dipamerkan di satu sudut ruang HTAR, sebuah destinasi yang meraih pengiktirafan Tourism Malaysia Negeri Johor sebagai salah satu lokasi pelancongan daerah Pontian.

Orang ramai yang ingin mengenali HTAR dengan lebih dekat boleh berkunjung ke galeri seni itu di HTAR yang bertempat di Kampung Parit Haji Elias, Ayer Baloi, Pontian.

HTAR boleh dihubungi menerusi e-mel [email protected] serta Facebook Hujung Tanah Art Residency.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN