fbpx

‘Berniqab mahu elak penyakit ain’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LINDA RAFAR

“KALAU dalam majlis-majlis tertentu memang saya berniqab tetapi saya tak pernah isytiharkan yang sudah berniqab ‘full-time’.

Itu sepotong ungkapan dari bibir pelakon dan penyanyi, Linda Rafar atau nama lengkapnya, Azlinda Rafar memberi justifikasi tentang penampilan baharunya menutup sebahagian wajahnya iaitu berniqab.

Dedah Linda, 43, dia sedar ramai dalam kalangan netizen sewenang-wenangnya melabelkan dirinya sebagai oportunis terhadap agama hanya kerana menggayakan penampilan berniqab dan pada masa sama, menjalankan perniagaan hijab menerusi jenama LR Hijab.

Linda terlebih dahulu telah merujuk kepada golongan ulama dan pakar undang-undang agama, bahawa bukan satu kesalahan jika tidak berniqab secara total dan dalam masa sama menjadikan ‘pakaian’ Muslimah tersebut sebagai satu punca rezeki.

“Ustaz kata kepada saya, jual tudung dapat pahala dan jual niqab lagilah berganda pahala itu. Niat saya memang sudah tentu nak cari rezeki yang halal.

“Kalau orang label saya penunggang agama, itu mulut mereka dan saya tak boleh kawal.

“Buka tudung atau tidak memelihara aurat itu yang berdosa. Keputusan mana-mana wanita untuk tidak lagi berniqab atau sebaliknya tidak menjadi satu kesalahan atau dosa pun. Itu kata ustaz yang saya rujuk,” jelas Linda kepada Pose ketika satu sesi fotografi di ibu pejabat Media Mulia, Petaling Jaya, tempoh hari.

LINDA RAFAR tidak mahu mengisytiharkan dirinya sudah berniqab sepenuhnya kerana tidak mahu mengundang fitnah daripada orang ramai. – Muhamad Iqbal Rosli

Demi Allah, bukan manusia

Kata Linda, segala apa yang dilunaskan ketika usia semakin mencemburuinya kini adalah berlandaskan rasa taat kepada Allah, bukan manusia.

“Saya tahu ramai yang cakap itu ini apabila saya cakap saya tak declare sudah berniqab betul-betul. Pertama sekali, saya buat semua ini kerana Allah.

“Daripada saya layan komen budak-budak tak berakal dalam media sosial, sendiri yang pening nanti. Saya lebih suka merujuk kepada orang yang arif tentang hal agama.

“Saya dah lali dengan kritikan dan kecaman orang. Nak fikir mulut orang memang sampai bila-bila takkan habis.

“Ada yang cakap saya tak layak pakai niqab. Saya fikir, biarlah apa orang nak cakap yang penting kita sentiasa buat baik dan jaga hubungan dengan Dia yang cipta kita,” luahnya.

Linda mengakui, masih belajar untuk menjadi seorang Muslimah yang lebih baik hari demi hari.

“Saya dalam proses untuk membersihkan diri. Membersihkan diri daripada segala dosa yang pernah saya buat seumur hidup. Apa yang saya buat sekarang adalah persediaan untuk menempuh hari kematian.

“Sekarang ini, Allah nombor satu, keluarga kedua dan kemudian, nombor tiga barulah hal berkaitan kerjaya.

“Orang tengok kita pakai baju labuh tutup sana sini, yang tahu dalam hati hanya diri kita sendiri dan Allah.

“Istiqamah bukan satu proses yang mudah tapi saya bersyukur kerana urusan sentiasa dipermudahkan.

“Sekarang, selain benda-benda wajib, saya amalkan 12 rakaat solat sunat dan tak tinggal berzikir 1,000 kali sehari,” katanya.

Melanjutkan bicara, Linda yang merupakan anggota kumpulan Elite memaklumkan, keputusannya berniqab adalah untuk mengelakkan daripada terkena penyakit ain.

Penyakit ain ialah penyakit yang disebabkan oleh pandangan mata yang disertai sifat iri atau rasa takjub terhadap apa yang dipandang.

APA yang menjadi keutamaan Linda sekarang adalah mengejar saham akhirat sebagai bekalan hari kematian yang menjadi rahsia aturan Ilahi.

Suami kena penyakit ain

Kata Linda, suaminya sendiri, Syed Aiman sedang menderita penyakit tersebut sekarang semakin pulih.

“Penyakit ain ini boleh membawa kematian. Orang puji tak boleh, orang kutuk pun tak boleh.

“Sebab itu saya amalkan menutup sebahagian besar wajah dengan berniqab, sebab nak elak terkena penyakit ain.

“Suami saya kena penyakit ain teruk sampai alami kemurungan, sukar nak bernafas dan mudah berasa resah secara tiba-tiba.

“Dah rujuk dengan ustaz dan dia mengesahkan suami saya memang terkena penyakit ain. Keadaan suami memang tak macam dulu dah. Kalau dulu dia sayang motor berkuasa tingginya, sekarang dia dah tak ambil kisah tentang itu,” dedahnya.

Menurut ustaz yang merawat suaminya, Linda juga menghidapi penyakit ain, namun tidak dalam kondisi serius.

“Ustaz kata saya pun terkena penyakit ain tapi keadaannya tak teruk. Segelintir orang mungkin tak percaya tentang kewujudan penyakit ain tapi percayalah, kalau berlaku kepada orang yang kita rapat atau sayang, baru rasa bagaimana,” tuturnya.

TERPULANG kepada orang ramai mengkritik dirinya ‘menjual’ agama, kata Linda, apa yang terbuku dalam hatinya adalah lebih penting daripada pujian dan cercaan sekeliling.

Rumah tahfiz di Indonesia

Tidak berniat untuk mendabik dada dengan segala kebaikan yang dilakukan, Linda mahu orang ramai turut melakukan kebaikan demi kelangsungan hidup sejagat.

Ibu kepada lima cahaya mata itu mendedahkan, dia ada menghulurkan sumbangan untuk pembinaan sebuah rumah tahfiz di Jawa Tengah, Indonesia.

“Kalau cerita, mungkin orang fikir saya berlagak dengan kebaikan yang diusahakan tapi sebenarnya niat saya nak orang lain turut sama membantu.

“Rumah tahfiz atau pesantren tersebut hampir siap. Saya pakai duit sendiri lebih kurang RM100,000. Demi Allah, saya tak pakai duit orang lain.

“Hubungan saya dengan orang di sana dah macam saudara sendiri. Kalau sebulan itu, saya tak punya pendapatan yang banyak, saya bagi apa yang mampu,” kata Linda.

Usaha tersebut sebenarnya dimulakan arwah abang iparnya sejak berpuluh tahun lalu. Linda cuma menyambung perkara baik yang sepatutnya tidak ditinggalkan begitu sahaja.

“Rumah tahfiz yang dibina sekarang dihuni sekitar 20 orang. Semuanya hidup daif, miskin tak macam realiti di Malaysia. Saya cuba apa yang mampu. Saya bukan Ebit Lew atau Neelofa tapi kita tolong sedaya mampu,” ujarnya menoktahkan perbualan.

Busana: LR Hijab
Solekan: El Manda Zuhairy
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI