fbpx

Eksport ke Malaysia: Loji ayam Thailand, China masih sah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) memaklumkan sembilan loji ayam di Thailand dan dua loji ayam di China yang mengeksport daging ayam serta keratan ayam ke negara ini adalah masih sah.

Menurut kenyataan DVS, pihaknya memandang serius terhadap video seorang penceramah bebas yang tular dalam media sosial serta mendakwa loji-loji ayam Thailand dan China yang mengeksport produk ayam ke Malaysia telah tamat tempoh dan tidak halal.

“DVS ingin memaklumkan terdapat sembilan loji ayam yang diluluskan untuk mengeksport daging ayam dan keratan ayam di negara Thailand dan dua di China.

“Justeru, DVS mengesahkan kesemua loji ayam yang disenaraikan di laman sesawang DVS adalah masih sah untuk mengeksport ke Malaysia,” kata kenyataan tersebut di sini hari ini.

Dalam masa sama, senarai loji-loji di laman sesawang DVS dikemas kini dari semasa ke semasa dan loji-loji yang didapati tidak mematuhi syarat import ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia akan digantung kelulusan eksport.

“Notifikasi penggantungan akan dipaparkan pada nama loji tersebut di laman sesawang DVS untuk makluman pihak-pihak berkepentingan,” ujarnya.

Sementara itu, DVS menegaskan, Badan Pengesahan Halal Luar Negara yang mengawal selia aktiviti penyembelihan halal di loji ayam Thailand iaitu The Central Islamic Council of Thailand manakala, di China pula Shandong Halal Certification Services adalah masih sah tempoh pengiktirafan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sehingga 31 Disember 2023.

“Orang awam diingatkan supaya merujuk kepada Pihak Berkuasa Veterinar, DVS untuk mendapatkan keterangan dan pengesahan perkara-perkara yang berkaitan sahih sebelum membuat sebarang hebahan dalam media sosial bagi mengelakkan spekulasi,” tegasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI