fbpx

Aifa bangga julang skuasy Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SKUAD skuasy lelaki dan wanita negara ceria selepas masing-masing muncul juara Kejohanan Berpasukan Asia di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil kelmarin.

PASUKAN skuasy negara menampilkan aksi membanggakan apabila menyapu bersih gelaran kategori lelaki dan wanita pada Kejohanan Berpasukan Asia di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil kelmarin.

Skuad wanita melakar sejarah tersendiri apabila memenangi kejuaraan ke-10 selepas menewaskan Hong Kong 2-1, manakala pasukan lelaki turut mencatat kemenangan 2-1 ke atas pilihan utama, India.

Juara kejohanan Terbuka Malaysia, Aifa Azman yang menghadiahkan mata kemenangan pasukan negara dengan menewaskan Ho Tze Lok 11-4, 11-3, 11-6 memberitahu, dia amat gembira apabila dapat membantu Malaysia kembali menjadi juara.

“Satu perlawanan yang sangat sukar untuk kami hari ini (kelmarin) tetapi semua pemain sudah berikan aksi terbaik. Rachel (Arnold) dan Ainaa (Amani) juga sudah berjuang habis-habisan dalam perlawanan mereka.

“Kemenangan pertama yang diraih Rachel berjaya mengurangkan tekanan dan saya tahu, saya perlu bermula dengan baik pada aksi penentuan bagi menghadiahkan mata kemenangan buat negara,” kata pemain kelahiran Kedah itu.

Meskipun masih berada dalam keadaan penat selepas beraksi pada Terbuka Malaysia sebelum ini, namun Aifa tetap memberikan aksi terbaik bagi memastikan kejuaraan menjadi milik pasukan negara.

“Sudah tentu saya sangat gembira walaupun sedikit penat kerana beraksi dua kejohanan berturut-turut. Saya juga akui permainan sedikit lemah pada awal kejohanan,” ujarnya.

Sementara itu, pemain skuasy lelaki negara, Ivan Yuen berpuas hati apabila dia menjadi wira Malaysia apabila mengha­diahkan mata kemenangan dengan menewaskan Ramit Tandon 11-8, 8-11, 11-3, 11-1 pada aksi penentuan.

“Memang sukar untuk beraksi dalam perlawanan penentuan kerana India adalah pasukan yang sangat berpengalaman. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana masih mampu untuk berjuang dan memenangi kejohanan buat negara,” kata Ivan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI