fbpx

Dera anak kandung sampai mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang kanak-kanak disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Sultanah Aminah selepas disyaki didera ibu kandung serta bapa angkat, semalam.

ISKANDAR PUTERI – Seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia selepas disyaki didera ibu kandung serta kekasih ibunya dalam kejadian di Taman Nusa Bestari di sini tengah hari semalam.

Dalam kejadian pada pukul 12.20 tengah hari itu, mangsa yang berusia lima tahun itu menghembus nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dekat sini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian itu terbongkar selepas pegawai perubatan HSA menerima mangsa untuk rawatan kecemasan sejurus dibawa ibu kandungnya yang berusia 32 tahun.

Menurutnya, pihak hospital menghubungi polis selepas mendapati kanak-kanak malang itu disahkan meninggal dunia selain terdapat kesan lebam pada seluruh anggota badan, cedera di mulut dipercayai didera.

“Pasukan penyiasat Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor menjumpai getah paip di sinki dalam bilik air, batang kayu dan paip plastik di atas sofa dan kesan darah (swab) di rumah suspek.

“Kesemua barang kes diatas telah dirampas. Ibu kandung ditahan di HSA manakala bapa angkat (kekasih ibu) yang berusia 35 tahun ditahan di tempat tinggal mereka di Taman Nusa Bestari untuk membantu siasatan,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata, bedah siasat ke atas mangsa akan dilakukan hari ini selepas keputusan ujian calitan Covid-19 mangsa diperolehi.

Manakala semakan ke atas suspek mendapati mendapati kedua-dua mereka mempunyai rekod jenayah lampau yang sama iaitu kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan empat rekod di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jelasnya, kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI