fbpx

Lakar sejarah universiti Islam pertama di Pantai Timur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WAN ROSDY Wan Ismail (depan tengah) bersama Sallehudin Ishak (depan, kiri) dan Syed Ibrahim Syed Ahmad (depan, kanan) pada sidang akhbar sempena naik taraf KUIPSAS kepada universiti penuh di bilik gerakan Majlis Perbandaran Bentong hari ini.

BENTONG – Pengiktirafan sebagai universiti penuh menjadikan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) di Kuantan melakar sejarah sebagai universiti swasta Islam pertama di Pantai Timur dan negeri ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perdaftaran UnIPSAS secara rasmi semalam amat bermakna kepada seluruh rakyat Pahang dan merupakan kejayaan semua pihak di negeri ini.

“Peranan institusi Diraja Pahang sangat signifikan sejak awal penubuhan Kolej Islam Pahang pada 1996, Al Marhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah sangat mengambil berat perkembangan institusi pengajian tinggi ini dan menjadi Canselor Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) pertama pada 2016.

“Pendaftaran UnIPSAS secara rasmi semalam lebih bermakna kerana pada tahun ini UnIPSAS menyambut Jubli Perak sempena ulang tahun penubuhannya yang ke-25,”katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Majlis Perbandaran Bentong di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sallehuddin Ishak dan Naib Canselor UnIPSAS, Prof. Madya Dr. Mohd. Zawavi Zainal Abidin.

Semalam Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad yang mempersembahkan Watikah Perakuan Naik Taraf KUIPSAS kepada UnIPSAS.

Majlis persembahan watikah tersebut juga turut disaksikan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang juga merupakan Canselor universiti tersebut.

Menurut Wan Rosdy, kerajaan negeri terlibat secara langsung dalam menentukan hala tuju UnIPSAS dari semasa ke semasa melalui anak syarikatnya iaitu Sistem Pendidikan Islam Pahang Sdn. Bhd.

Jelasnya penyaluran geran tahunan oleh kerajaan negeri telah dimanfaatkan sepenuhnya untuk menyediakan perkhidmatan pengajian tinggi yang terbaik.

Dalam pada itu beliau berkata, pada masa ini UnIPSAS menawarkan 27 program pengajian peringkat asasi, diploma, sarjana muda dan sarjana di bawah tiga fakulti iaitu Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Pengurusan dan Informatik serta Fakulti Pengajian Bahasa dan Asasi. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI