fbpx

Bekas lombong di Chini ditanam pokok dan dibina benteng

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WAN ROSDY Wan Ismail (dua dari kanan) meninjau prestasi projek menanam pokok penutup bumi di kawasan bekas lombong di Hutan Simpan Chini di Pekan semalam.

PEKAN – Usaha memulihkan kawasan bekas lombong seluas 200 hektar di Hutan Simpan Chini di sini giat dilakukan dengan penanaman pelbagai spesis pokok seperti pokok penutup bumi dan pokok balak.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerja pemulihan berjalan lancar mengikut jadual termasuklah pembinaan benteng bagi mengelakkan aliran air mengalir ke dalam Tasik Chini.

“Saya difahamkan sebelum aktiviti menanam pokok penutup bumi dilakukan, proses meratakan kawasan dan melapiskan tanah hitam dan baja organik dilakukan bertujuan untuk kesuburan pokok.

“Saya berharap kerja menanam pokok penutup bumi membabitkan kawasan bekas lombong dalam Hutan Simpan Chini seluas 200 hektar ini dapat berjalan lancar mengikut jadual,” katanya selepas meninjau prestasi projek menanam pokok penutup bumi di kawasan bekas lombong di Hutan Simpan Chini, di sini semalam.

Yang hadir sama Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Datuk Dr. Mohd Hizamri Mohd Yasin dan Pengarah Tanah Dan Galian Pahang, Datuk Fadzilla Salleh.

Menurut Wan Rosdy kerajaan negeri terus komited agar aktiviti pemulihan ini diteruskan dan siap mengikut jadual dalam usaha mengembalikan keindahan Tasik Chini seterusnya menarik kehadiran pelancong dalam dan luar negara.

Katanya, selain pokok penutup bumi yang mudah tumbuh dan menjalar turut ditanam ialah pokok spesies merawan siput jantan, meranti temak nipis dan batai yang dianggap sesuai tumbuh di kawasan itu.

Sementara itu Mohd Hizamri berkata, dengan kerjasama baik diberikan kontraktor yang dilantik untuk menanam pokok penutup bumi usaha pemuliharaan kawasan bekas lombong di Hutan Simpan Chini berjalan dengan lancar.

Beliau berkata, pihaknya turut menggunakan khidmat masyarakat Orang Asli setempat untuk mengusahakan tapak semaian melibatkan beberapa spesies pokok untuk ditanam di Hutan Simpan Chini.

“Kita berharap kawasan bekas lombong yang berada dalam Hutan Simpan Chini kembali hijau dengan pokok penutup bumi termasuk spesies merawan siput jantan, meranti temak nipis dan batai.

“JPNP akan terus memantau aktiviti menanam pokok yang dibahagikan kepada beberapa kawasan dan dijangka siap sepenuhnya tahun depan,”ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI