fbpx

3 Disember diisytihar Hari Batik Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri ketika berucap pada majlis pemashyuran Hari Batik Malaysia di RTM sebentar tadi.

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan tarikh 3 Disember setiap tahun dipilih sebagai Hari Batik Malaysia bermula tahun ini.

Ismail Sabri berkata, pemilihan tarikh tersebut adalah sebagai penghargaan atas sumbangan, sokongan dan minat yang ditonjolkan oleh Allahyarhamah Tun Datin Paduka Seri Endon Mahmood iaitu isteri kepada Perdana Menteri Malaysia Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Mesyuarat Jemaah Menteri pada 26 November lalu telah bersetuju untuk memasyhurkan satu tarikh dalam bulan Disember sebagai Hari Batik Malaysia.

“Pada 3 Disember 2003, Allahyarhamah telah memulakan sebuah Gerakan Malaysian Batik-Crafted for the World untuk membawa batik tempatan ke arena antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pengisytiharan Hari Batik Malaysia yang disiarkan secara langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini malam ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, susulan pengisytiharan itu, kerajaan berharap agar seluruh rakyat Malaysia termasuk pihak swasta dan masyarakat, digalakkan untuk memakai pakaian Batik Malaysia.

Jelas beliau, usaha ini bertepatan dengan konsep Keluarga Malaysia di mana semua rakyat Malaysia berbilang kaum bersatu hati dalam menggayakan keunikan dan keindahan melalui pemakaian batik tempatan.

“Saya percaya dengan perisytiharan ini akan dapat menjadi pemangkin kepada pemerkasaan industri kraf batik tempatan dan rantaian pengeluaran industri batik negara.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) melalui Kraftangan Malaysia atas pemasyhuran ini,” ujarnya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI