fbpx

7 filem tidak lulus tayangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak tujuh filem diberi keputusan Tidak Lulus Untuk Tayangan (TUT) membabitkan enam filem pada tahun lalu dan satu filem pada tahun ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata, kesemua tujuh filem terbabit termasuk satu filem tempatan mengenai kisah politik iaitu Daulat.

“Filem lain melibatkan Real Love (Perancis), Shubh Mangal Zyada Saavdhan (India), Pallu Padama Paathuka (India), White Eye (Israel), Boluomi (Taiwan) dan Battle At Lake Changjin (China),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai sebab LPF bukan di bawah KKMM memandangkan hal-hal berkaitan pembikinan filem tertakluk di bawah bidang kementerian tersebut dan berapa banyak filem telah diharamkan pada tahun 2020 dan 2021.

Tambah Ismail Mohamed, Lembaga Penapisan Filem (LPF) akan kekal di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memastikan kandungan filem yang ditayangkan kepada umum tidak melanggar empat aspek utama yang boleh menggugat keselamatan negara.

“Keselamatan dan ketenteraman awam merupakan aspek yang menjadi keutamaan LPF dalam menilai kandungan sesebuah filem sebelum ia ditayangkan kepada umum. Tiga aspek lain melibatkan keagamaan, sosiobudaya serta ketertiban dan ketatasusilaan,” katanya.

Katanya, LPF tidak diletakkan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) kerana fungsi LPF adalah terhad kepada penapisan kandungan filem yang telah siap untuk ditayangkan kepada umum.

“LPF tidak terlibat dalam urusan pembikinan atau pengeluaran filem sebagaimana yang dilaksanakan secara langsung oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

“Finas merupakan salah satu agensi di bawah KKMM yang melaksanakan fungsi khusus untuk membangunkan industri filem tempatan berdasarkan kepada peruntukan Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244),” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI