fbpx

Permohonan baharu atau kemas kini BKM bermula tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. SHAHAR Abdullah (dua dari kiri) menyampaikan mock up cek kepada usahawan pada Majlis perasmian Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia di Dewan Paya Besar di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Rakyat boleh membuat permohonan baharu atau mengemas kini data sedia ada bagi menerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang akan mula dibuka permohonannnya bermula 1 hingga 31 Januari tahun depan.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Mohd. Shahar Abdullah berkata, ini bagi memastikan mereka yang layak dan tiada dalam pangkalan data kerajaan diberikan peluang sekali lagi untuk memohon.

“Jadi semua yang layak boleh membuat permohonan serta semakan dalam pangkalan data Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan kita akan mempermudahkan proses permohonan itu (BKM).

“Kita jangkakan pembayaran pertama akan dibuat pada bulan Mac 2022 dan pembayaran BKM dilaksanakan empat kali setahun,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia di Dewan Paya Besar, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Abd. Rahim Muda.

Mohd. Shahar menjelaskan, bagi memastikan tiada rakyat yang tercicir, penerima Geran Khas Prihatin (GKP) yang tidak diluluskan permohonan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) atau Bantuan Khas Covid (BKC) B40 akan dipertimbangkan untuk BKM secara automatik mengikut syarat kelayakan tanpa perlu membuat permohonan.

“Kita (Kerajaan) sebenarnya komited untuk membantu golongan yang memerlukan terutamanya golongan rentan (B40) dengan menyediakan bantuan tunai sebanyak RM8.2 bilion di bawah BKM pada tahun hadapan.

“Kita jangkakan seramai 9.6 juta penerima akan menerima manfaat itu dan bantuan ini disediakan bagi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia,”katanya.

Sebelum itu, pembayaran fasa pertama BKC telah selesai dibuat pada September lalu dengan peruntukan sebanyak RM3.1 bilion yang memanfaatkan hampir 10 juta penerima.

Pembayaran fasa kedua BKC juga telah dibuat mulai 25 November lalu dengan peruntukan RM300 juta manakala bayaran kedua ini akan melibatkan 700,000 penerima isi rumah, individu bujang dan warga emas yang tergolong dalam kategori miskin.

Pembayaran seterusnya iaitu Fasa Ketiga BKC akan dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan iaitu Disember depan dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion untuk 3.8 juta penerima isi rumah kategori miskin dan B40. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI