fbpx
PENGUNJUNG perlu menyelesaikan lapan checkpoint untuk menamatkan pemanduan ATV yang memakan masa sekitar sejam hingga sejam 30 minit.

Uji adrenalin tunggang ATV terokai alam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERENTASI hutan dan jalan berliku dengan menunggang kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV) pastinya memberi kepuasan kepada pencinta sukan lasak, apatah lagi pada masa sama dapat menikmati keindahan alam.

Berbeza di tempat lain, FJ ATV Park menjanjikan pengembaraan menyeronokkan, santai dan juga menguji adrenalin dengan rekaan trek mencabar.

Ia juga memberi 1,001 kepuasan termasuk membawa pengunjung mendaki bukit dengan kenderaan tersebut bagi menikmati keindahan alam dari aras tinggi.

PENGUNJUNG perlu menyelesaikan lapan checkpoint untuk menamatkan pemanduan ATV yang memakan masa sekitar
sejam hingga sejam 30 minit.

Terletak dalam kawasan Bidaisari Resort, Janda Baik, Pahang, taman rekreasi ATV itu mempunyai beberapa trek yang sangat menarik seperti melalui hutan, sungai, terowong buluh, lawatan resort serta mendaki di ketinggian 512 meter dari aras laut.

Taman rekreasi ATV itu merupakan kolaborasi bersama Bidaisari Resort dan mempunyai trek sepanjang 4 kilometer yang memperuntukkan satu jam hingga satu jam 30 minit untuk diselesaikan pengunjung.

Menurut pemiliknya, Fizo Omar, FJ ATV Park mengetengahkan konsep fun trail dengan menyediakan pelbagai halangan yang perlu ditempuhi seperti laluan bertiti, jongkang-jongkit, terowong buluh dan tanah berlumpur.

“Di sini, kami memberi tumpuan aktiviti santai bersama keluarga, berkumpulan dan sahabat handai dengan trek berhalangan yang mana jarang ditawarkan di tempat lain.

 

FJ ATV Park di Janda Baik ini mempunyai beberapa trek yang sangat menarik seperti melalui hutan, sungai, terowong buluh, lawatan resort dan mendaki di ketinggian 512 meter dari aras laut.

“Walaupun trek ini direka dengan pelbagai halangan, tetapi ia sesuai dan selamat untuk disertai seisi keluarga termasuk anak kecil,” katanya yang juga seorang pelakon, model dan pengacara.

Jelasnya, FJ ATV Park setakat ini mempunyai 30 buah ATV, setiap satunya bernilai RM30,000 hingga RM40,000 dan pihaknya bakal menambah lagi 20 buah bulan depan.

Pengunjung boleh memilih ATV berkuasa 450cc atau 625cc. Menariknya, FJ ATV Park merupakan satu-satunya lokasi di Malaysia menawarkan kuasa ATV setinggi itu.

“Saya mahu pelanggan seronok mencipta pengalaman menunggang ATV ini yang mempunyai stereng berkuasa dan gear automatik.

“Semua lapisan umur dan jantina boleh menunggang ATV kerana ia sangat selesa dan mudah untuk dikendalikan,” tuturnya yang sangat meminati sukan lasak ATV dan merupakan pemilik Rocky ATV di Selising, Pasir Puteh, Kelantan.

Terdapat lapan checkpoint di FJ ATV Park dan sebanyak 25 buah ATV boleh bergerak ke trek pada satu-satu masa.

Sejak beroperasi pada Oktober lalu, FJ ATV Park menerima sambutan hangat pengunjung yang datang dari seluruh negara.

Mereka yang berminat untuk merasai pengalaman menarik menunggang ATV dinasihatkan membuat tempahan lebih awal agar tidak pulang hampa, apatah lagi jika datang dari jauh semata-mata untuk mencuba kenderaan tersebut.

Menjelang penghujung tahun hadapan, Fizo menyasarkan membuka lima lagi taman rekreasi ATV, antaranya di Port Dickson, Negeri Sembilan dan Langkawi yang membawa konsep sama, fun trail.

POPULAR

BERITA BERKAITAN