fbpx
KATA Elyana, dia mahu menjalani kehidupan harian seperti orang lain tetapi terhalang kerana badannya 'rosak' sehingga dia melalui banyak kesakitan.

Rosak jiwa saya, belajar memahami, bukan menghakimi – Elyana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Barangkali lelah dengan reaksi segelintir netizen yang skeptikal dengan perkongsian tentang penderitaan yang dialaminya, penyanyi Elyana mengakui sudah berusaha sehabis baik untuk sembuh dengan mencuba pelbagai cara termasuklah dari segi pemakanan dan pengambilan ubat-ubatan sepanjang lebih 10 tahun hidup sebagai pesakit kanser limfoma.

Menurut Elyana, 33, dia sebenarnya mahu menjalani rutin harian secara normal seperti orang lain, selain bersenam dan mengambil makanan tambahan.

“Saya dah sakit lebih 10 tahun. Lebih 20 kali lakukan kemoterapi dan lebih 30 kali radioterapi. Apa yang saya tak pernah lakukan? Diet? Pantang? Makan ubat? Rebus daun?

“Benda yang anda tak terfikir boleh makan pun, saya makan. Macam-macam rasa saya telan juga untuk sihat. Tak makan selama setahun pun pernah, sebab tak ada selera. Berubat semua ceruk orang beritahu, saya pergi,” katanya dalam satu hantaran Instagram.

Menurut pemilik nama lengkap Erneelya Elyana Emrizal itu, bukan dia tidak berusaha tetapi selama lebih 10 tahun selepas disahkan menghidap kanser, dia melalui kehidupan yang sangat sukar kerana seluruh badannya ‘rosak’.

Disebabkan itu, Elyana mengakui sukar menjelaskan kepada orang di luar sana yang tidak melalui keperitan seperti yang dirasainya ketika ini.

“Beza kalau kita pernah jaga atau kenal orang yang sakit dengan diri kita sendiri yang alami dan berperang dengan sakit. Beza.

“Jika anda ingin membantu, belajarlah memahami. Bukan menghakimi dalam komen dan merungut. Rosak jiwa saya. Saya dah buat sebaik mungkin yang mampu untuk 10 tahun ini,” luahnya.

Tambah pelantun lagu Tak Tercapai Akalmu itu lagi, kesengsaraan yang dialaminya selama 10 tahun sukar digambarkan dengan kata-kata kerana hanya dia yang tahu betapa sakitnya melalui semua keperitan tersebut.

Katanya, dia menanggung kesakitan apabila tiada selera makan, mulut dipenuhi ulser, demam tak menentu, saraf seluruh badan sakit, susah berjalan serta tidak boleh minum air.

“Telan air liur pun sakit. Muntah, ketakutan, seluruh badan rosak. Susah bercakap. Tumpah darah bertahun-tahun. Nak duduk, berdiri sakit. Nak jaga keluarga, cari duit.

“Berfikir. Tak boleh tidur. Nak selalu tersenyum depan anda. Berat, terlalu berat. Kamu tak akan dapat memahami selagi tak pernah merasainya sendiri,” katanya lagi.

Perkongsian Elyana menerima respons daripada peminatnya yang rata-rata mengirimkan doa, sokongan serta meniupkan semangat buat penyanyi itu untuk terus berjuang melawan kesakitan.

Untuk rekod, Elyana mengesahkan dirinya menghidap kanser limfoma tahap empat ketika siaran langsung konsert Gegar Vaganza musim keempat pada 2017.

Kanser tersebut turut menyerang dan merebak ke beberapa organ badannya seperti rahim, hati dan pangkal paha. – K! ONLINE

POPULAR