fbpx
GAMBAR HIASAN

Henti cerca, hina artis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
SAIRUL ZAMRI MISRANI
WARTAWAN EKSEKUTIF

KEMAJUAN teknologi dan dunia tanpa sempadan pada masa kini membolehkan sesiapa sahaja di muka bumi ini mengakses maklumat tanpa batasan.

Bukan sekadar maklumat di hujung jari, ruang lingkup kehidupan seseorang juga boleh diketahui dengan begitu pantas tanpa ada sekatan.

Misalnya, cerita-cerita me­ngenai selebriti tidak kisahlah dia bergelar pelakon, penyanyi, pelawak waima pengacara sekali pun, ceritera mengenai mereka begitu mudah untuk sesiapa sahaja ketahui.

Pun begitu, di sebalik kepantasan, kecanggihan dan kepesatan teknologi yang dilihat begitu banyak peranannya masa kini, tidak dinafikan terdapat juga kekurangannya sendiri.

Tidak susah, contoh yang pa­ling mudah dapat dilihat adalah bagaimana cara dan kaedah seseorang netizen itu menggunakan media sosial mereka.

Tidak dinafikan, wujud segelintir netizen yang menjadikan laman sosial sebagai ‘lapang sasar’ bagi mereka melepaskan tembakan dipenuhi kelongsong peluru yang lengkap diisi dengan kata-kata nista.

Impaknya, tidak lain tidak bukan individu atau pihak yang dijadikan mangsa itu jika tidak pandai mengawal emosi, barangkali mungkin sudah gila dan disahkan sakit mental dilakukan sedemikian rupa.

Pada mereka, apa jua dampak di belakang hari langsung tidak pernah difikirkan meskipun boleh mendatangkan kesan atau luka parah berpanjangan pada si pemangsa.

Usah fikir terlalu jauh, se­perti yang diperkatakan di atas, golongan selebriti antara mereka yang paling ‘laku’ dijadikan ­mangsa dan serangan netizen tanpa mengira waktu.

Tidak kiralah selebriti tersebut yang memulakan dulu atau dalam erti kata lain membuka ruang, peluang dan jalan untuk dicerca mahupun dihina, netizen hanya menunggu masa yang tepat sahaja ‘menarik’ picu senjata masing-masing.

Lebih-lebih lagi kalau isu atau kisah yang dibangkitkan sele­briti tersebut memang betul-betul membuatkan netizen mengge­legak dan naik darah.

Bukan satu dua laporan be­rita di dada akhbar melaporkan golongan selebriti yang tertekan dek kerana kecaman netizen.

Terbaharu, penyanyi dangdut sensasi kelahiran Johor Bahru, Baby Shima menjadi ­mangsa serangan netizen.

Mengakui mentalnya tidak kuat dan tertekan akibat kecaman netizen yang tiada berkesudahan, Shima tanpa segan silu mengakui terpaksa mendapatkan sesi khidmat kaunseling bagi merawat emosinya.

“Saya tak tahan dengan masalah tekanan perasaan dan depresi. Saya betul-betul tertekan. Bukan main-main, sehinggakan saya ambil keputusan dapatkan khidmat kaunseling dengan segera,” katanya.

Tambah Shima, dia mengakui sedikit lega selepas mendapatkan rawatan itu.

Katanya, impak tertekan dek kutukan dan kritikan menggila netizen yang tidak pernah habis, dia juga terpaksa mengambil pil penenang bagi merawat emosi­nya yang terganggu dan disifatkan sudah jahanam.

Senada dan bersetuju de­ngan kenyataan Shima ialah Pakar Psikologi daripada Universiti SEGi, Profesor Datin Dr. Mariani Md. Nor.

Kata Mariani, tidak ada salahnya untuk netizen menegur, memberikan kata-kata semangat mahupun mengajar sesiapa sahaja yang mereka mahu, asalkan dengan menjaga tutur kata secara baik.

“Bukan tidak boleh atau sama sekali dilarang untuk menegur. Tegurlah, tapi biarlah kena pada tempat, cara dan bukannya bersifat hinaan, cacian apatah lagi cercaan yang boleh mendatangkan kesan psikologi kepada emosi seseorang.

“Mereka juga manusia, ada hati dan perasaan dan bukannya boneka mainan. Sepatutnya, le­bih canggih dan pantas teknologi beredar, lebih terbuka dan matang minda kita semua, tetapi ini sebaliknya,” ujarnya. -K! ONLINE

POPULAR

BERITA BERKAITAN