fbpx

3.4 juta penduduk dewasa negara hidap dua NCD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairy Jamaluddin.

KUALA LUMPUR – Kira-kira 3.4 juta penduduk dewasa di Malaysia menghidap dua penyakit tidak berjangkit (NCD) iaitu diabetes dan hipertensi.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, memaklumkan perkara tersebut hasil daripada Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada tahun 2019.

“Kementerian Kesihatan (KKM) akan memberi fokus terhadap strategi pencegahan dan kawalan NCD pada peringkat awal berdasarkan Pelan Strategik Kebangsaan Penyakit Tidak Berjangkit 2016-2025.

“Dasar, pelan dan perkhidmatan mengikut ‘Life Course Approach’ ini mengambil kira keperluan kesihatan serta sosial pada semua peringkat kehidupan bermula dengan kesihatan dan pemakanan ibu,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Dr. Azman Ismail (PH-Kuala Kedah) yang meminta KKM menyatakan bagaimana strategi bagi menangani NCD di Malaysia.

Jelasnya, pendekatan ‘Life Course Approach’ turut meneruskan amalan pemakanan bayi, termasuk promosi penyusuan susu ibu dan amalan gaya hidup sihat serta menjalankan program pemerkasaan khusus untuk pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

“Selain itu, Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang diluluskan Jemaah Menteri pada 7 Ogos tahun lalu, menjadi tawaran baharu kerajaan bertujuan menjadikan rakyat Malaysia sihat sejahtera melalui pembudayaan hidup sihat dan kelestarian persekitaran yang menyokong hidup sihat.

“KKM turut menubuhkan Jawatankuasa Kabinet ANMS yang dipengerusikan Perdana Menteri dan bertindak sebagai platform peringkat tertinggi bagi membincangkan serta mengenal pasti dasar dan tindakan susulan untuk menangani NCD yang memerlukan pembabitan aktif pelbagai kementerian serta agensi,” katanya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI