fbpx

Salah semua, bukan Solskjaer sahaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UNITED mencatat kekalahan keempat dalam lima aksi terakhir EPL selepas tewas 1-4 kepada Watford kelmarin. – AFP

WATFORD – Pemain tengah Manchester United, Bruno Fernandes enggan menamakan pengurusnya, Ole Gunnar Solskjaer sebagai individu yang bertanggungjawab penuh ekoran kekalahan 1-4 pasukan itu kepada Watford pada aksi kelmarin.

United sekadar meraih satu kemenangan dalam enam aksi Liga Perdana Inggeris termasuk tewas empat kali selain gawang mereka dibocori sebanyak 12 kali menyebabkan ahli lembaga pengarah kelab itu mengadakan pertemuan tergempar untuk membincangkan nasib Solskjaer.

Menurut Fernandes, tanggungjawab tersebut perlu dipikul oleh semua pemain secara kolektif kerana mereka gagal mempamerkan aksi terbaik.

“Ia adalah kesalahan semua. Tidak perlu meletakkan tanggungjawab itu untuk dipikul oleh pengurus semata-mata, bukan satu atau dua pemain tetapi semua.

“Kami semua perlu memikulnya kerana kami patut memberikan aksi terbaik. Tidak ada orang yang boleh mengatakan bahawa dia telah memberikan yang terbaik kerana itu tidak berlaku,” katanya.

Fernandes mengakui United gagal memberikan aksi terbaik pada separuh masa pertama selain turut kecewa dengan isu pertahanan yang terlalu rapuh.

“Kami hanya benar-benar beraksi pada separuh masa sahaja dan itu tidak cukup untuk saingan seperti Liga Perdana Inggeris.

“Watford adalah pasukan yang baik, agresif, memiliki kualiti ketika menyerang dan jika anda memberikan mereka peluang, anda pasti akan bolos. Itu adalah masalah kami dalam banyak perlawanan.

“Saya fikir sikap kami pada separuh masa kedua lebih baik kerana pada babak pertama kami seperti hilang arah. Kami tidak memenangi perebutan bola dan gagal menghalang mereka melakukan serangan.

“Kami sepatutnya cuba untuk menyaingi intensiti, mempamerkan kualiti dan menunjukkan mengapa anda bermain untuk Manchester United,” jelasnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI