fbpx

“Saya tidak menyesal” – YB Viral

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norhizam Hassan Baktee

MELAKA – Calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee tidak menyesal dengan tindakannya menarik balik sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali sebelum ini.

Beliau yang popular dengan gelaran YB Viral berkata, meskipun gagal mempertahankan DUN itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semalam, dirinya telah melakukan yang terbaik untuk penduduk Pengkalan Batu selama ini.

“Saya tiada rasa menyesal. Kita sudah buat yang terbaik dan berhenti (tidak lagi menjadi wakil rakyat) dalam keadaan baik. Kita tidak boleh berkempen, mereka (calon lain) boleh berkempen.

“Saya sudah buat yang terbaik, tetapi tidak boleh buat apa-apa. Jiwa dan raga saya sudah serahkan. Tetapi saya bangga kerana menjadi calon Bebas yang memperoleh 1,218 undi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Norhizam berkata, kekalahannya di DUN Pengkalan Batu semalam sebenarnya satu kerugian besar kepada sebahagian pengundi DUN Pengkalan Batu yang menolaknya kerana mereka telah kehilangan satu permata yang betul menjiwai rakyat.

Menurutnya, ramai pihak datang berjumpa dengannya semalam menyatakan mereka telah kehilangan seorang wakil rakyat yang bekerja dengan baik dan sentiasa turun padang menyelesaikan permasalahan mereka.

Katanya, sepanjang perkhidmatannya beliau tidak cukup tidur sehingga perlu makan panadol untuk memastikan segala permasalahan rakyat termasuk berkenaan babi dapat diselesaikan.

“Tetapi tidak mengapalah jadi rakyat marhain. Saya sudah ada pencen. Saya tidak menyesal berhenti ketika dalam keadaan baik. Media sosial saya antara yang terbaik dan menteri pun kalah.

“Sekali keluar (bahan) dalam TikTok beratus ribu (respon). Facebook saya tidak usah cakap. YB Viral sudah macam satu “branding”,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, selepas ini persidangan DUN Melaka pasti kurang menjadi perhatian rakyat Malaysia kerana orang ramai mahu melihat persidangan DUN Melaka disebabkan beliau.

“Saya dikenali satu Malaysia. Mana saya pergi orang ambil gambar dengan saya, namun saya tidak anggap itu sebagai satu kelebihan, tetapi penghargaan,” katanya lagi.

Tambah beliau, buat masa ini beliau mahu berehat dan tidak menolak kemungkinan menubuhkan badan bukan kerajaan (NGO) YB Viral bagi meneruskan khidmatnya kepada rakyat Melaka.

“Kepada penduduk Pengkalan Batu saya Datuk Norhizam minta maaf kerana tidak dapat sebahagian undi dan kepercayaan. Bagaimanapun sebagai calon Bebas memperoleh 1,218 undi saya boleh berasa megah,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI