fbpx
MEREKA yang bertaqwa, sentiasa melakukan amal soleh seperti membaca al-Quran demi mendapat reda Allah. – gambar hiasan

Riak ketika berbuat baik hapuskan pahala

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP orang Islam percaya Allah memiliki sifat ar-Rahman dan ar-Rahim yang membawa maksud Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang.

Allah melimpahkan kasih sayangNya kepada semua manusia sama ada yang beriman atau tidak, mereka yang taat atau yang bermaksiat serta yang melakukan kebaikan atau kemungkaran.
Allah mengizinkan sesuatu itu berlaku dengan redaNya.

Oleh kerana bersifat adil, maka Allah akan memberikan ganjaran dan keredaan kepada hamba-hambaNya yang melakukan ketaatan, manakala kemurkaan kepada mereka yang ingkar.

Allah menggesa agar sekalian hambaNya bersegera untuk melakukan kebaikan kerana terdapat di sebalik amalan itu ganjaran yang disediakan sama ada diberikan segera di dunia atau di hari akhirat kelak.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 48 yang membawa maksud: “Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu, berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu.”

Di dalam kitab Tafsir Al Munir, Prof. Dr. Wahbah Az Zuhaili menyebutkan, secara khususnya kita melihat ayat ini berkisarkan perintah Allah agar ditukarkan arah kiblat daripada menghadap Baitul Maqdis kepada menghadap Kaabah di Mekah.

Selain itu, ayat ini juga merupakan satu perintah Allah agar terus diterima oleh Rasulullah SAW dan para sahabat atas dasar kebaikan walaupun kiblat bukanlah satu-satunya asas agama, tetapi yang terpenting adalah berlumba-lumba mengerjakan kebaikan serta mentaati perintah Allah.

Sebagai balasannya, Allah akan membalas setiap orang sesuai dengan perbuatannya ketika hidup di dunia yang fana ini.

Semua tempat pada pandangan Allah adalah sama dan janganlah kalian berdebat dalam masalah pengalihan kiblat dan janganlah membantahnya.

Selain itu, orang yang melakukan kebaikan mendapat kecintaan Allah melalui firmannya dalam surah Ali Imran ayat 134 yang bermaksud: “Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik”.

Dalam surah yang sama ayat 133, Allah meminta agar bersegera memohon keampunan seperti firmannya: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan Bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa”.

Sesungguhnya, memohon keampunan merupakan simbol orang bertaqwa.

Maka, bersegeralah memohon keampunan kepada Allah kerana syurga Allah ini tersangat luas yang disediakan kepada hamba-hambaNya yang terpilih untuk menjadi ahlinya dengan sentiasa istiqamah di atas jalan kebenaran dan tidak tergelincir ke jalan tidak baik.

Andainya tersasar juga dengan sebab kelemahan dan kealpaan kita sebagai manusia, maka janganlah berputus asa untuk kembali kepadanya kerana Allah sentiasa menerima hambaNya yang ingin kembali kepadaNya dengan jalan taubat.

Di samping itu, setiap kali pada hari Jumaat, khatib akan mengingatkan kepada jemaah dengan menyeru agar meningkatkan ketaqwaan kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dengan mematuhi segala titah perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.

Bekalan yang terbaik bagi kehidupan di dunia dan akhirat adalah bertaqwa kepada Allah.

Dalam hal ini, Allah berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 197 yang membawa erti: “Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukup kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu adalah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).”

Dalam keghairahan kita melaksanakan kebaikan dan ketaatan, janganlah sekali-kali hati dipengaruhi oleh godaan syaitan sehingga menyebabkan timbul perasaan riak, takabbur dan sombong kerana berasakan sudah banyak amalan kebaikan.

Harus diingatkan bahawa betapa banyaknya amalan baik yang dilakukan dengan hati yang tidak ikhlas, maka boleh menyebabkan lebur dan lenyaplah semua pahala. Bukankah ini suatu perkara yang amat merugikan?

Oleh itu, berhati-hatilah kita dalam melaksanakan amalan, jangan sampai hilang sifat keikhlasan kepada Allah.

Sehubungan itu, Allah memberikan amaran kepada kita melalui firmannya agar kita berhati-hati agar tidak tergolong dalam golongan orang yang rugi.

Dalam surah Hud ayat 15 dan 16, Allah merakamkan amaran itu: “Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya.

“Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia dan batal apa yang mereka telah kerjakan.”

Justeru, bersegeralah untuk melakukan kebaikan bagi meraih cinta Allah yang membawa kepada kehidupan abadi dan menangguhkan amalan baik kebaikan adalah sangat merugikan.

Rebutlah untuk berbuat kebaikan sebelum ajal menjemput kita.

MOHAMAD FIRDAUS [email protected]
ialah Pegawai Hal Ehwal Islam, Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor.

POPULAR

BERITA BERKAITAN