fbpx

Jangan buat spekulasi kematian Dr. Chai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mendiang Koh Meow

PETALING JAYA – Orang ramai diminta untuk tidak membuat spekulasi mengenai kematian Ketua Penolong Pengarah Kanan Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan (KKM), Dr. Chai Koh Meow yang meninggal dunia semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, siasatan mengenai punca kematian mendiang masih berjalan dan semua pihak diminta untuk menghormati privasi keluarga mendiang.

“Salam takziah diucapkan buat seluruh ahli keluarga mendiang Dr. Chai Koh Meow atas pemergian beliau pada 17 November 2021.

“Dr. Chai merupakan seorang Ketua Penolong Pengarah Kanan di Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia yang amat disenangi oleh rakan-rakan sekerja, masyarakat setempat dan komuniti perubatan tradisional dan komplementari,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya tadi.

Noor Hisham berkata, mendiang telah melengkapkan dos vaksinasi penggalak Covid-19 pada 9 November 2021 dan tidak melaporkan apa-apa kesan sampingan luar biasa setelah mendapat vaksinasi tersebut.

“Malahan beliau telah hadir bekerja dan bertugas seperti biasa sehingga 16 November 2021.

“Adalah dimaklumkan bahawa siasatan mengenai punca kematian mendiang masih berjalan. KKM memohon agar mana-mana pihak tidak membuat spekulasi mengenai kes beliau sehingga keputusan bedah siasat rasmi diperolehi. KKM juga memohon masyarakat umum menghormati privasi keluarga mendiang,” ujarnya.

Terdahulu, Koh Meow dilaporkan meninggal dunia ketika sedang tidur di kediamannya semalam.

Berita mengenai kematian Koh Meow yang dilaporkan oleh media tempatan hari ini mendapat pelbagai komen daripada pengguna media sosial yang mengaitkan kematian mendiang adalah berpunca daripada vaksin Covid-19. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI