fbpx

Malaysia bertanggungjawab lindungi kanak-kanak – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri.

PETALING JAYA – Selaras konsep Keluarga Malaysia dan pelantikan negara untuk menduduki kerusi Human Rights Council (HRC), kerajaan bertanggungjawab melindungi semua kanak-kanak di negara ini tanpa mengira warganegara, bangsa, agama, kelahiran atau status-status lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia juga kekal komited dalam memberi perlindungan kepada kanak-kanak terutamanya dari golongan rentan, mangsa keganasan seksual dan keganasan rumah tangga.

Dalam ucapannya pada sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia 2021 di bangunan Parlimen hari ini, beliau berkata antara Jun 2020 dan Ogos tahun ini, 1,721 kes keganasan seksual terhadap kanak-kanak telah direkodkan manakala 2,162 kes aktif sedang dalam perbicaraan.

“Kanak-kanak amat berharga di hati saya kerana mereka merupakan anugerah Tuhan yang amat berharga kepada kita. Saya percaya, adalah tidak memadai jika kita hanya memperuntukkan satu hari dalam setahun untuk memperingati hak dan keperluan yang sepatutnya dinikmati mereka.

“Kita sebenarnya perlu berusaha lebih untuk melindungi kanak-kanak kerana ada di antara mereka bakal menjadi pemimpin yang hebat di masa akan datang.

“Setiap kanak-kanak mempunyai hak asasi untuk mendapatkan pendidikan dan membesar dalam suasana yang kondusif agar mereka mampu menjadi individu yang boleh mencapai potensi penuh dan mengejar impian mereka,” katanya.

Tambah Perdana Menteri, perlindungan sama turut diberikan kepada kanak-kanak dalam tahanan di mana komitmen Malaysia dalam menangani isu itu dapat dilihat dalam penubuhan program Alternative to Detention (ATD) apabila kerajaan berikrar sebagai ahli HRC.

Menurut Ismail Sabri, sejak sekian lama Malaysia kekal komited berhubung hal penahanan kanak-kanak di negara ini.

“Kepentingan terbaik mereka mesti diambil kira terutamanya apabila menangani keperluan kanak-kanak yang terdedah, termasuk kanak-kanak pelarian ataupun refugee. Ini adalah selaras dengan prinsip Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak,” katanya.

Ismail berkata, dasar perlindungan kanak-kanak amat perlu pada masa ini bagi menggalakkan setiap agensi, organisasi dan anggota masyarakat memberi keutamaan kepada perlindungan kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama.

“Dasar itu selaras dengan falsafah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) 1995 (eng: Convention on the Rights of the Child) dan Akta Kanak-Kanak 2001 yang menekankan prinsip perlindungan kepada kanak-kanak demi kepentingan terbaik mereka,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI