ATLANTA, GEORGIA – Seorang wanita di Georgia yang ditemui dibunuh bersama anjing peliharaannya di sebuah taman di kawasan tempat tinggalnya didapati ditikam sebanyak 50 kali selain perkataan ‘FAT’ ditoreh pada badan mangsa, lapor akhbar New York Post semalam.
Mayat Katherine Janness, 40, ditemui oleh teman wanitanya di sebuah taman awam di Atlanta pada Julai lalu. Mangsa ditemui kira-kira 30.5 meter dari lokasi anjingnya, Bowie dibunuh.
Pada Jumaat lepas, hasil bedah siasat mendedahkan bahawa dia ditikam berpuluh-puluh kali dengan sekurang-kurangnya 15 kesan luka pada kepalanya. Perkataan FAT yang bermaksud gemuk juga ditoreh di dada mangsa, demikian menurut laporan forensik yang mengklasifikasikan kejadian itu sebagai pembunuhan.
Setakat ini, tiada tangkapan mahupun suspek yang dikenal pasti. Polis juga tidak jelas mengapa suspek menulis perkataan tersebut pada badan wanita tersebut. Mangsa mempunyai ketinggian 165 sentimeter dan berat 70 kilogram.
Pemeriksa Perubatan, Dr. Karen Sullivan berkata, Janness meninggal dunia akibat kecederaan ditusuk senjata tajam pada muka, leher dan tubuhnya yang menyebabkan kecederaan parah pada saluran darah utama dan organ dalaman.
Teman wanitanya, Emma Clark menemui mayat mangsa dengan menggunakan aplikasi pengesan telefon bimbit apabila pasangannya tidak pulang daripada bersiar-siar bersama anjing mereka, kata bapa Emma, Terrell kepada akhbar tempatan.
Terrell pada Jumaat lalu memberitahu saluran televisyen WSB-TV bahawa hasil bedah siasat menjadikan pencarian pembunuh mangsa oleh polis tempatan dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) perlu diutamakan.
“Laporan bedah siasat sangat menyayat hati untuk dibaca,”katanya. – Agensi
















