fbpx
SEBAHAGIAN daripada 19,000 warga Thailand meninggalkan Malaysia pada 18 April tahun lalu akibat pandemik Covid-19. – AFP

Pakar masak ‘Siam’ masuk Malaysia ikut Sungai Golok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Sepasang suami isteri dari Narathiwat, Thailand terpaksa mengambil keputusan untuk memasuki negara ini secara haram melalui Sungai Golok kira-kira tiga minggu lalu selepas lebih setahun tidak bekerja di negara asal.

Mereka yang mahu dikenali sebagai Isa Mamat, 40-an dan isterinya, Mariam Jusoh, 30-an, pulang ke kampung sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu.

Mereka yang sebelum ini be­kerja di Johor Bahru nekad untuk pulang semula ke Narathiwat sebelum kawalan ketat di sempadan negara selepas bimbang jangkitan Covid-19 di Malaysia yang meningkat ketika itu.

Isa berkata, selepas lebih setahun pulang ke kampung, dia yang sebelum ini bekerja sebagai tukang rumah dan isterinya tukang masak di sebuah restoran di Johor Bahru tidak mendapat peluang pekerjaan yang baik di Narathiwat.

Ujarnya, keadaan itu menyebabkan dia dan isteri mahu kembali memasuki Malaysia dan cuba mencari kerja di Kelantan selepas kadar vaksinasi Covid-19 semakin meningkat.

“Selepas pulang ke Narathiwat, saya jadi tukang rumah, gaji RM20 sahaja berbanding RM80 sehari ketika bekerja di Malaysia.

“Isteri saya yang pakar masakan Thai pula langsung tidak dapat bekerja di restoran atau kedai makan di sana.

“Keadaan itu menyebabkan kami nekad untuk memasuki Malaysia secara haram,” katanya ketika ditemui Kosmo!.

Mariam pula memberitahu, pada awalnya, dia ingin kembali ke Johor Bahru untuk bekerja di restoran lama, namun premis itu telah gulung tikar akibat PKP.

Ujarnya, dia dan suami mengambil keputusan untuk mencari rezeki di Kota Bharu dan kini sudah mempunyai majikan yang menggajikan mereka.

“Saya berpengalaman sebagai tukang masak masakan Thai sejak 20 tahun lalu, dengan pengalaman ini, mudah untuk saya diterima bekerja di negara ini.

“Kami berdua mempunyai empat orang anak yang masih bersekolah di kampung dan mereka kini dijaga oleh ibu bapa saya,” katanya.

Mariam berkata, dia dan suami tetap menjalani kuarantin kendiri di rumah saudara mereka di Kota Bharu ekoran bimbang menjadi pembawa Covid-19.

“Sebagai rakyat Thailand, saya berharap pintu kedua-dua negara dapat dibuka secepat mungkin agar kami boleh melengkapkan dokumen yang sah untuk bekerja di sini.

“Percayalah, ramai rakyat Thailand yang bergantung hidup dengan mencari pendapatan di sini kerana peluang pekerjaan di tempat kami amat sukar berbanding Malaysia,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN