SETIAP tempat pasti ada kisah seram dan menakutkan. Ia pasti menjadi igauan ngeri buat mereka yang terkena ‘usikan’ dan gangguan makhluk halus di situ.
Ini yang berlaku kepada seorang bekas pelajar salah sebuah institusi pengajian tinggi di negara ini yang kena ganggu ketika majlis orientasi sebagaim pelajar baharu suatu ketika dahulu.
Antara pengalaman menyeramkan yang dialaminya termasuk mendengar kerusi di dalam bilik ditarik dan ditolak untuk tempoh tertentu, sedangkan pada ketika itu rakan sebilik sedang tidur.
———————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————
KISAH seram di sebuah institusi pengajian tinggi sememangnya menjadi bualan ramai sejak dibuka hampir 50 tahun lalu.
Ramai juga yang menafikan perkara itu dan mengatakan ia sengaja direka untuk menakut-nakutkan pelajar baharu.
Namun bagi seorang bekas pelajar universiti tersebut yang hanya ingin dikenali sebagai Hadi, 47, kisah seram yang berlaku di situ adalah benar dan dia sendiri mengalaminya dengan gangguan menakutkan.
Katanya, segalanya bermula ketika menjalani program orientasi di universiti itu.
“Entah mengapa, saya menjadi sasaran makhluk halus tersebut,” katanya mengimbau kenangan lalu ketika ditemui di rumahnya di Teluk Panglima Garang, Banting, Selangor baru-baru ini.
Ujarnya, semasa orientasi semua pelajar ditempatkan di satu kolej kediaman bagi memudahkan setiap aktiviti dilakukan.
Seperti biasa kata Hadi, apabila minggu orientasi banyak program diadakan dari sebelum Subuh hingga tengah malam.
Katanya, senior yang garang akan mengejutkan pelajar baharu untuk solat Subuh dan mendengar kuliah hingga waktu Dhuha.
“Pada hari pertama orientasi, semua berjalan lancar. Namun pada malam kedua, semasa berada dalam bilik sesuatu yang menakutkan berlaku.
“Kira-kira pukul 12 tengah malam, sedang saya baring dalam keadaan lampu terbuka, tiba-tiba terdengar bunyi seperti ada orang duduk di atas kerusi di dalam bilik.
“Rakan sebilik sudah lama tidur. Bulu roma mula meremang seolah-olah ada makhluk yang sedang memerhati saya dari kerusi tersebut,” katanya.
Jelasnya lagi, selepas dia berpaling muka dan menghadap dinding, terdengar kerusi ditolak ke belakang dan di tarik ke depan berulang kali sebelum suasana kembali sepi.
Kata Hadi, disebabkan kejadian itu, dia demam dua hari hinggalah dia mengambil keputusan berjumpa senior yang ‘ala-ala’ Ustaz.

“Senior itu kata, adakah saya sudah memberi salam ketika masuk ke tempat yang telah lama ditinggalkan penghuninya.
“Kata senior itu lagi, universiti tersebut asalnya kawasan hutan sebelum ditebus guna menjadi universiti. Sudah pasti ‘penghuni’ asal perlu dihormati kerana dia tinggal di situ sudah beribu tahun,” katanya.
Kata pelajar senior itu lagi, nasib baik Hadi diuji dengan bunyi kerusi ditolak, jika tidak bernasib baik dia diberi ‘peluang’ melihat makhluk asing seperti dalam filem Predator berbentuk cecair atau pocong berlari di koridor kolej kediaman tersebut.
Apa yang dikatakan pelajar senior itu ada kebenarannya, memang Hadi telah membuat kesilapan kerana berat mulut memberi salam kepada ‘tuan rumah’ di situ.
Sejak peristiwa itu, Hadi berkata, dia akan memberi salam bukan sahaja kepada orang yang dikenali, malahan ketika masuk ke bilik kosong sama ada di rumah mahupun hotel selepas lama tidak beroperasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 pada ketika ini.
Tidak terhenti di situ, beberapa hari kemudian, Hadi terus diganggu ketika tidur di katil bawah.
Disebabkan badan penat, dia cepat terlelap.
“Tiba-tiba ada ‘benda’ yang menindih tubuh saya hingga menyebabkan saya sukar bernafas dan tidak boleh meronta-ronta,” katanya.
Ujarnya lagi, badannya berpeluh kerana kepanasan dihimpit makhluk yang entah bagaimana rupanya.
Segala ayat suci al-Quran yang dibaca menjadi tidak keruan dan tunggang- langgang jadinya.
“Alhamdullillah, selepas hampir 30 minit, gangguan itu reda. Saya kembali tidur kerana takut untuk bangun membuka lampu bilik. Bimbang jika makhluk itu menunjukkan diri.
“Ingatkan makhluk itu sudah pergi, sekali lagi saya ditindih. Kali ini saya sempat menjerit dan rakan sebilik terus melompat dan membuka suis lampu bilik,” katanya.
Rakan sebiliknya rupa-rupanya tidak dapat lena kerana mendengar dia meracau-racau sambil membaca ayat-ayat suci.
Hadi berkata, mereka berdua terus keluar dari bilik dan berlari ke bilik urus setia.’
Dia dan rakannya menumpang tidur di situ hingga ke Subuh.
Mengulas lanjut, Hadi berkata, hari berikutnya tiada lagi gangguan menakutkan hinggalah minggu orientasi selesai dan selepas itu, dia menghuni kolej kediaman baharu.
——————————————————————————————————————————————————-
Artikel ini diambil daripada kepercayaan masyarakat di sesuatu tempat sejak zaman-berzaman bertujuan untuk pendidikan dan bukan menggalakkan kepercayaan karut atau tahyul.















