fbpx

Jangan sekat aktiviti sosial rakyat walau kes naik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Cadangan untuk menyekat kembali akti­viti sosial sekiranya kes Covid-19 terus menunjukkan peningkatan harus dijadikan pilihan terakhir bagi mengelakkan mental, fizikal rakyat terjejas.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, kerajaan perlu melihat keadaan ketika negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila banyak pihak me­ngalami tekanan sehingga gagal mengawal emosi.

“Tidak dinafikan, tindakan menyekat aktiviti sosial boleh dilakukan kerajaan, namun sampai bila kita perlu mengambil langkah sama bagi memastikan kes Covid-19 dapat diturunkan.

“Kes akan sentiasa turun dan naik,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Tambah Zainal, sekiranya cadangan menyekat aktiviti sosial dilakukan, ia harus berpaksikan dengan tiga langkah bagi mengawal kes Covid-19 di negara ini.

“Antara langkah yang boleh diambil ialah dengan berdasarkan statistik yang tepat dan lebih terperinci. Ia juga harus difokuskan di kawasan tertentu sahaja dan bukan melibatkan semua negeri.

“Langkah seterusnya melibatkan aspek kesedaran terhadap kepentingan vaksin dengan memberi tumpuan kepada golongan yang enggan mengambil suntikan imunisasi dalam usaha kerajaan mencapai imuniti kelompok.

“Langkah terakhir memerlukan ketegasan pihak berkuasa bagi memastikan masyarakat mematuhi SOP seperti memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal seperti sebelum ini,” ujarnya.

Kelmarin Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mastura Yazid berkata, semua aktiviti sosial akan disekat semula sekira­nya kes berkaitan Covid-19 kembali meningkat dan menular dalam masyarakat negara ini.

Bagaimanapun katanya, semua sektor ekonomi akan berjalan seperti biasa.

Sementara itu, tinjauan Kosmo! mendapati, orang ramai menyifatkan cadangan penutupan aktiviti sosial sebagai langkah jangka masa pendek dan kurang efektif.

Seorang pekerja swasta, Hazim Radzman, 33, berkata, jumlah kes positif tidak seharusnya dijadikan kayu pengukur dalam menyekat aktiviti sosial.

“Negara kita bakal memasuki fasa endemik dan peratusan rakyat yang sudah divaksin juga tinggi.

“Sekiranya tindakan menyekat aktiviti sosial dilakukan, ia hanya mengurangkan kes dalam tempoh tersebut, namun kembali meningkat selepas sekatan tamat. Emosi dan mental rakyat juga harus dititikberatkan sekiranya ingin melakukan sekatan,” jelasnya.

Pandangan sama disuarakan Nazmin Iryani Ismail, 28, yang memberitahu, tindakan menyekat aktiviti sosial hanya mampu menyelesaikan masalah dalam tempoh singkat.

“Perlu ada langkah lain yang harus diambil. Kita bimbang kes akan kembali meningkat dan langkah sama berulang.

“Masyarakat juga dinasihatkan agar mematuhi SOP yang ditetapkan bagi memastikan wabak ini dapat dibendung.

“Kelonggaran telah diberikan dan sekarang terletak di bahu kita untuk memastikan kes terus turun dengan pematuhan SOP,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI