ALOR SETAR – Harga racun rumpai yang meningkat di seluruh negara ternyata membebankan kebanyakan petani dan terbaharu, pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di sini mula tertekan dengan kenaikan 100 peratus sejak Mei lalu.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) Kedah, Mohd. Fuad Yaacob berkata, kenaikan harga racun itu menyebabkan pesawah terus menanggung kerugian sekiranya masalah tersebut tidak diatasi segera.
Katanya, kenaikan harga racun bukan sahaja membebankan pesawah, malah turut melibatkan penanam sayur di negeri ini apabila mereka terpaksa membelinya walaupun harga tinggi.
“Sebelum ini, harga racun rumpai untuk empat liter harganya adalah RM53 sahaja. Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini, harga racun naik mendadak sehingga RM75 untuk empat liter. Begitu juga racun rumpai untuk 20 liter pula dahulunya hanya RM220 tetapi kini mencecah RM400.
“Pihak pembekal memaklumkan punca utama kenaikan harga racun disebabkan bahan untuk membuat racun naik dan pada masa sama mata wang negara kita semakin jatuh,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan bantahan kenaikan harga racun rumpai di Alor Janggus di sini semalam.
Mohd. Fuad berkata, hasil keuntungan petani untuk musim ini akan terjejas berikutan kenaikan harga racun tersebut.
“Saya berharap kerajaan campur tangan segera dalam menyelesaikan masalah ini supaya petani tidak akan dibebankan dengan kos input hari ini.
“Selain itu, pesawah MADA juga merayu supaya subsidi sebanyak RM300 yang diperoleh setiap musim dapat dinaikan kepada RM360 sesuai dengan kos input pertanian semakin meningkat,” ujarnya.
Pesawah, Hashim Ahmad, 66, dari Kampung Besar, Padang Hang, Anak Bukit pula berkata, kenaikan harga racun rumpai membebankan petani, selain harga benih padi juga semakin meningkat.
“Setiap kali musim menanam padi, sudah pasti kos input akan meningkat dan mengharapkan kerajaan dapat menyelesaikan masalah tersebut dengan segera,” ujarnya.-K! ONLINE














