fbpx

Dapat tempahan 200 bot hadapi musim bah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Basri memeriksa bot gentian kaca sebelum diserahkan kepada pelanggan ketika ditemui di bengkelnya di Dabong, Kuala Krai semalam.

KUALA KRAI – Musim tengkujuh seolah-olah mengundang rezeki buat pembuat bot gentian kaca di Dabong di sini, apabila mula me­nerima banyak tempahan daripada penduduk sebagai persediaan menghadapi banjir tahun ini.

Basri Mahmud, 50, berkata, bot gentian kaca itu akan digunakan penduduk kampung untuk memudahkan mereka berpindah semasa musim tengkujuh.

Katanya, kebanyakan penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan pinggir sungai menempah bot lebih awal bagi mengelak detik cemas setiap kali berlaku banjir.

“Sejak awal tahun sehingga bulan ini, permintaan bot gentian kaca memang tinggi apabila tempahan bot melebihi 200 buah.

“Selepas tamat musim tengkujuh, mereka yang kebanyakannya mencari rezeki sebagai nelayan sungai akan gunakan pula bot itu untuk menangkap ikan,” katanya.

Basri yang memulakan usaha membuat bot sejak 18 tahun lalu berkata, proses pembuatan bot gentian kaca tidak rumit seperti bot kayu.

Katanya, selain di Dabong, dia mempunyai sebuah lagi bengkel bot di Kuala Tembeling, Jerantut, Pahang.

“Bot gentian kaca lebih ringan, tahan lama dan mudah diselenggara apabila mengalami kebocoran.

“Saya membuat bot gentian kaca dengan tiga ukuran berbeza iaitu 5 meter hingga lebih 7 meter yang mampu memuatkan antara empat hingga lapan orang penumpang,” katanya.

Menurut Basri, harga bot itu dijual pada harga bermula RM1,100 dan ke atas bergantung kepada saiz dan panjang bot.

Katanya, selain pelanggan di Kuala Krai dan Gua Musang, dia turut menerima tempahan dari Terengganu serta Pahang.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI